PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian bahan api boleh baharu tempatan, FatHopes Energy menjalin kerjasama strategik bersama syarikat pembekal stok bahan antarabangsa dari Sepanyol, UCO Trading bagi memperkukuh rantai bekalan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) negara.
Langkah itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyaksikan UCO Trading dilantik sebagai rakan kongsi perolehan global bagi Minyak Masak Terpakai (UCO) dan stok bahan generasi kedua lain yang layak.
Ketua Pegawai Eksekutif FatHopes Energy, Vinesh Sinha berkata, masa depan SAF bakal ditentukan oleh keupayaan mengamankan bekalan stok bahan yang boleh dipercayai, mampan dan boleh dikesan pada skala besar.
“UCO Trading telah membina platform perolehan global yang kukuh dengan kepakaran mendalam dalam pematuhan dan integriti rantai bekalan, menjadikan mereka rakan strategik ideal tatkala kami terus memperluas rangkaian antarabangsa kami.
“Hubungan yang terjalin sejak awal penubuhan syarikat masing-masing serta latar belakang bersama di Harvard Business School menjadi asas kukuh yang mendasari pakatan berasaskan kepercayaan dan nilai bersama ini,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kerjasama tersebut, UCO Trading komited untuk menyokong keperluan stok bahan jangka panjang FatHopes Energy melebihi 200,000 tan metrik setahun menerusi rangkaian perolehan globalnya bagi menampung pengeluaran SAF yang kian meningkat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UCO Trading, Luis Poch Rodrigo berkata, kerjasama ini merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kesalinghubungan stok bahan antarabangsa bagi industri SAF global.
“Menerusi rangkaian perolehan global serta komitmen kami terhadap pematuhan dan kebolehkesanan, kami berharap dapat menyokong pertumbuhan jangka panjang FatHopes Energy dan pembangunan industri SAF yang lebih luas di Asia Tenggara,” katanya.
Kerjasama ini hadir pada waktu kritikal bagi industri penerbangan apabila permintaan terhadap SAF terus meningkat seiring komitmen penyahkarbonan global, manakala akses kepada stok bahan berasaskan sisa terbukti kekal menjadi antara cabaran utama sektor berkenaan.
Memanfaatkan rangkaian perolehan UCO Trading merentasi rantau Amerika, Eropah dan terutamanya Asia, kolaborasi ini membolehkan FatHopes Energy mengurangkan risiko bekalan rantauan serta menampung kekurangan bekalan semula jadi untuk pelanggan sedia ada dan keperluan kilang penapisannya.
Selain itu, rakan kongsi ini turut meneroka peluang untuk memperkukuh koordinasi logistik, kerangka pensijilan dan integrasi rantai bekalan bagi menyokong pengeluaran bahan api boleh baharu secara berterusan. –UTUSAN










