KUALA NERUS: Enam kapal layar Monsoon Cup Foundation 36 (F36) menjadi aset baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi melatih mahasiswa menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman, selain menyokong aktiviti penyelidikan, pembangunan bakat dan penyertaan dalam sukan pelayaran.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zin berkata, enam kapal layar itu diperoleh menerusi Tabung Warisan Negeri Terengganu dan melalui proses baik pulih bermula September 2025 sebelum siap sepenuhnya Mei lalu.
Katanya, armada berkenaan kini sedang menjalani ujian pelayaran sempena Program Bidong Island Expedition (BISE) 2026.
“Projek baik pulih armada kapal layar ini dilaksanakan dengan sokongan dan pembiayaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjumlah RM600,000.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada mahasiswa mempelajari kemahiran pelayaran menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman dalam situasi sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Program Bidong Island Expedition (BISE) 2026, baru-baru ini.
Beliau berkata, kapal layar berkenaan bukan sekadar aset sukan malah berfungsi sebagai platform pembelajaran luar bilik kuliah yang memberi pendedahan kepada mahasiswa dalam aspek kepemimpinan, disiplin, kerja berpasukan, komunikasi dan keupayaan membuat keputusan ketika berada di laut.
Katanya, BISE 2026 turut menjadi platform ujian pelayaran bagi menilai keupayaan kapal, kru dan mahasiswa dalam operasi pelayaran sebenar di samping memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para peserta. – UTUSAN










