E-wallet perlu bayar pampasan mangsa penipuan dalam 7 hari - Utusan Malaysia

E-wallet perlu bayar pampasan mangsa penipuan dalam 7 hari

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyedia platform e-dompet atau e-wallet mesti membayar pampasan sepenuhnya kepada mangsa penipuan dalam tempoh tujuh hari bekerja sekiranya gagal melaksanakan langkah pencegahan Bank Negara Malaysia (BNM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan ini terpakai termasuk dalam keadaan di mana kerugian sebahagiannya berpunca daripada kecuaian pengguna.

“Bagi transaksi menggunakan e-dompet pula, sekiranya pengeluar e-wang layak tidak dapat melaksanakan langkah pencegahan yang ditetapkan oleh BNM, mereka perlu memberi pampasan penuh kepada mangsa dalam tempoh 7 hari bekerja dari tarikh penerimaan aduan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Roy Angau Anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) berhubung sama ada kerajaan bercadang memperkukuh mekanisme perlindungan dan pampasan kepada pengguna yang menjadi mangsa penipuan melibatkan transaksi e-wallet dan pembayaran digital bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap ekonomi digital negara.

Tambah Anwar, BNM telah menambah baik dasar sedia ada di bawah Dokumen Dasar Layanan Adil kepada Mangsa Transaksi E-Perbankan Tanpa Kebenaran pada tahun 2024 bagi meningkatkan tahap perlindungan pengguna yang menjadi mangsa penipuan kepada transaksi perbankan atas talian,

Beliau berkata, dasar ini menekankan prinsip tanggungjawab bersama antara institusi perbankan dan pelanggan. Institusi perbankan dikehendaki mengamalkan tahap ketelusan yang tinggi, serta memastikan siasatan dilaksanakan dengan menyeluruh dan diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah.

“Dasar ini turut merangkumi aspek pampasan bagi transaksi tanpa kebenaran (unauthorised transactions) yang ditentukan berdasarkan penilaian terhadap peranan, tanggungjawab serta tahap kecuaian setiap pihak.

“Dengan pelaksanaan dasar ini, beban kerugian akan ditanggung bersama institusi perbankan dan pelanggan secara adil sekiranya penyiasatan membuktikan keduadua pihak mempunyai kelemahan.

“Sekiranya penyiasatan oleh institusi perbankan melebihi tempoh masa yang ditetapkan, institusi perbankan juga perlu menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggan, tertakluk kepada terma dan syarat-syarat tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN