SUNGAI GOLOK (THAILAND): Polis Daerah Sungai Golok menahan dua lelaki rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam kes kecurian sebuah motosikal sewa dan memiliki dadah dalam serbuan di sebuah hotel di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 9.30 malam iti, polis turut memburu seorang lagi rakan yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Thun Sirikhunt berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 28 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengusaha motosikal sewa pada Isnin lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati seorang daripada suspek menyewa motosikal di hadapan sebuah hotel di bandar ini kira-kira pukul 9.30 malam menggunakan kad pengenalan milik individu lain.
“Suspek gagal memulangkan motosikal tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan sebelum pemilik membuat laporan polis.
“Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi, polis berjaya mengesan pergerakan suspek sehingga membawa kepada serbuan di sebuah bilik hotel kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Thun memberitahu, susulan penahanan kedua-dua suspek itu pihaknya telah menemukan semula motosikal yang dilaporkan hilang.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel itu turut menemukan 11 biji pil kuda dan empat biji pil Eramin 5.
“Hasil soal siasat lanjut membawa kepada tindakan polis mendapatkan waran tangkap terhadap seorang lagi rakyat Malaysia, Mohamad Khairul Azizi Mohd. Nor yang berusia lingkungan 20-an dan masih bebas,” ujarnya.
Thun berkata, siasatan turut mendapati pemilik kad pengenalan yang digunakan bagi menyewa motosikal tersebut bukan individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Katanya, beliau mengingatkan semua pengusaha kereta dan motosikal sewa di Sungai Golok supaya lebih berwaspada dengan memperketatkan proses pengesahan identiti penyewa serta memasang sistem pengawasan kenderaan bagi memudahkan usaha pengesanan sekiranya berlaku jenayah.-UTUSAN










