KUALA LUMPUR: Polis berjaya membongkar pengedaran minuman keras tidak bercukai menggunakan lori sampah menerusi dua serbuan di sekitar Kajang dengan rampasan bernilai lebih RM1.07 juta.
Operasi dijalankan hasil risikan utama Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman pada 21 Julai lalu bermula kira-kira pukul 4.30 petang.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan di dua lokasi yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan dan pengedaran minuman keras tanpa cukai.
“Operasi tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 62 tahun.
“Turut dirampas sebuah lori Isuzu satu tan yang digunakan sebagai kenderaan penghantaran, sebuah Toyota Altis, 1,361 kotak minuman keras pelbagai jenama mengandungi 32,664 tin serta tiga telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM1,070,164.58.
Mohd. Yusri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki minuman keras tanpa cukai.
Katanya, sindiket menggunakan lori sampah sebagai pengangkutan utama bagi mengedar dan menghantar minuman keras tidak bercukai kepada pelanggan.
“Ini merupakan kali pertama pihak berkuasa mengesan modus operandi menggunakan lori sampah bagi mengaburi kegiatan pengedaran minuman keras tanpa cukai.
“Taktik ini jelas menunjukkan sindiket sentiasa mencari kaedah baharu untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, PGA telah merekodkan 82 kes melibatkan rampasan minuman keras tanpa cukai dengan nilai keseluruhan RM14.52 juta di seluruh negara.
“Dalam tempoh sama, seramai 87 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan.
“Orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan minuman keras tanpa cukai,” katanya. – UTUSAN










