Dua beranak maut SUV terbabas rempuh surau

Dua beranak maut SUV terbabas rempuh surau

AHMAD Sidiki Abdul Rahman menunjukkan lokasi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang terbabas sebelum merempuh surau SK Bukit Jawa 2, Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2 di sini, hanya mampu mendengar jeritan meminta pertolongan daripada beberapa mangsa yang tersepit selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki terbabas merempuh surau sekolah tersebut, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 67 tahun dan anak perempuannya berusia 44 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi ahli keluarga mereka ce­dera.

Ahmad Sidiki Abdul Rahman, 50, berkata, dia dan rakan setugasnya berada di pos pengawal sekolah itu terkejut melihat sebuah SUV jenis Honda CR-V terbabas merempuh surau sekolah itu.

Katanya, dia bergegas ke kawasan surau itu untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan, namun gagal berbuat demikian.

“Saya hanya mampu men­dengar jeritan beberapa mangsa meraung kesakitan selama 15 minit kerana tidak dapat dikeluarkan dari kenderaan itu sebelum pasukan bomba tiba.

“Saya lihat enam mangsa berada di dalam SUV itu dan dua daripada mereka sudah mening­gal dunia. Pemandu kenderaan itu merupakan seorang wanita warga Indonesia,” katanya di sini, semalam.

Ahmad Sidiki berkata, difahamkan, semua mangsa sedang dalam perjalanan dari Machang menuju Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Mamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN