PETALING JAYA: Kerajaan digesa menerbitkan tiga dokumen utama berkaitan penetapan harga bahan api bagi menjawab persoalan sama ada beban kewangan atau kos sebenarnya ditanggung oleh rakyat, bukannya kerajaan.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Omar Mustapha berkata, tiga dokumen itu mampu menjawab persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat berhubung mekanisme penetapan harga minyak.
Beliau berkata, dokumen pertama ialah kiraan Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) mingguan bagi setiap gred minyak.
Katanya, kerajaan sudah menerbitkan harga runcit mingguan di portal data terbuka negara yang kini turut merangkumi harga bersubsidi, namun kiraan di sebalik penetapan harga tersebut masih belum didedahkan.
“Nyatakan harga rujukan pasaran pukal (MOPS), kadar pertukaran mata wang, margin serta sebarang komponen cukai, subsidi atau pampasan.
“Dengan itu, sesiapa sahaja boleh menyemak sama ada harga di pam menyamai harga berdasarkan formula. Jika terdapat perbezaan, nyatakan siapa yang memperoleh manfaat atau bagaimana ia diperakaunkan,” katanya dalam kenyataan.
Omar yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Petroliam Nasional (Petronas), Air Asia dan Majlis Ekonomi Negara berkata, dokumen kedua ialah Penyata Subsidi Bahan Api bulanan yang memperincikan kos sebenar subsidi serta sumber pembiayaannya.
Katanya, Menteri Kewangan sebelum ini memaklumkan kos subsidi memuncak kepada RM7.5 bilion sebulan pada April sebelum menurun kepada sekitar RM3.5 bilion.
“Jika jumlah itu boleh diumumkan dalam sidang media, penyata bulanan bukanlah satu beban baharu.
“Nyatakan kos sebenar, sumber pembiayaannya sama ada daripada hasil petroleum, cukai umum atau pinjaman, selain menjelaskan sama ada wujud lebihan kutipan daripada pembeli minyak tanpa subsidi,” katanya.
Menurut Omar, dokumen ketiga ialah data kuota penggunaan bahan api serta kesannya terhadap pengguna.
Katanya, kerajaan sendiri memetik data bahawa 90 peratus pengguna tidak melebihi 200 liter, manakala 95 peratus pengguna diesel tidak melebihi 300 liter, sekali gus membuktikan data tersebut tersedia.
“Bentangkan taburan pengguna yang melebihi kuota, jumlah yang diluluskan kuota tambahan serta bilangan petani, penjaja, pengangkut kecil dan penduduk luar bandar yang terpaksa membayar harga pasaran selepas kuota mereka habis.
“Tanpa data ini, kita hanya mengetahui jumlah penjimatan kerajaan, tetapi belum mengetahui siapa yang menanggungnya,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya ketiga-tiga dokumen itu menunjukkan tiada lebihan kutipan, kerajaan akan terbukti benar dan keyakinan rakyat akan bertambah.
“Jika sebaliknya, rakyat berhak tahu. Kedua-dua jawapan menguatkan negara. Yang melemahkannya hanya satu, iaitu berdiam diri,” katanya.
Mengulas lanjut, Omar berkata, jawapan paling wajar terhadap persoalan yang dibangkitkan pembangkang ialah menerbitkan angka dan data yang boleh disemak.
Katanya, isu sebenar bukanlah persaingan antara kerajaan dan pembangkang, sebaliknya sama ada harga bahan api boleh disemak secara telus atau hanya diterima atas dasar kepercayaan.
“Harga boleh disubsidi. Kepercayaan tidak. Negara tidak menjadi lemah kerana kos janji-janjinya. Negara menjadi lemah apabila beban kos yang ditanggung rakyat itu kelihatan samar-samar,” katanya.-UTUSAN










