Dedah segera siasatan pegangan saham Azam Baki - Utusan Malaysia

Dedah segera siasatan pegangan saham Azam Baki

WONG CHEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima ahli Parlimen kerajaan mendesak Suruhanjaya Diraja Bagi Siasatan (RCI) menyiasat perkara-perkara berkaitan pegangan saham Tan Sri Azam Baki dan dakwaan yang dikenali sebagai ‘Mafia Korporat’.

Lima ahli Parlimen berkenaan adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Parlimen Sungai Siput, S.Kesavan; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Wong Chen berkata, sehingga kini ia tidak pernah didedahkan kepada orang ramai meskipun mereka pernah menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum hasil siasatan terdahulu berhubung isu berkenaan yang didakwa telah dijalankan.

“Laporan-laporan ini wajar dikeluarkan kepada umum atau, sekurang-kurangnya, dikemukakan kepada satu jawatankuasa Parlimen untuk kajian dan penelitian lanjut.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa pada 6 Jun 2026, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan menyatakan bahawa dua kertas siasatan yang melibatkan Azam telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (JPN) untuk tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, kami menyeru JPN untuk mendedahkan status semasa siasatan-siasatan tersebut,” katanya.

Semalam, para aktivis yang mewakili 51 buah NGO berhimpun di pintu pagar Parlimen dan telah bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen.

Mereka menyerahkan satu memorandum yang antara lain menyeru penubuhan RCI untuk menyiasat dan melaporkan perkara-perkara berkaitan pegangan saham Azam serta dakwaan yang dikenali sebagai ‘Mafia Korporat’.

Mengulas lanjut, lima ahli parlimen berkenaan berkata, anggota Kabinet dan Perdana Menteri perlu menyatakan secara terbuka sama ada menyokong atau menolak penubuhan RCI berhubung isu berkenaan.

“Kami menggesa 51 buah NGO berkenaan untuk mendesak semua Ahli Parlimen memberikan pendirian terbuka yang jelas mengenai isu ini, terutamanya menjelang pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang.

“Ini merupakan satu peluang yang amat sesuai untuk menguji komitmen Ahli-ahli Parlimen terhadap integriti dan akauntabiliti,” katanya.

Bagi tujuan ini katanya lagi, 51 NGO dicadangkan memulakan kempen ‘name and shame’ dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan respons sama ada menyokong atau menentang tersebut.

“Kami menegaskan bahawa RCI boleh ditubuhkan atas nasihat Perdana Menteri, an sekiranya lebih daripada 51 peratus Ahli Parlimen menyokong penubuhan RCI tersebut, Perdana Menteri akan terikat untuk mengesyorkan penubuhan RCl itu kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN