Dana RM20 juta tingkat perusahaan sosial

Dana RM20 juta tingkat perusahaan sosial

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial Malaysia 2026 (KEPS 2026) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan dana pembiayaan khas hampir RM20 juta serta pengecualian yuran pendaftaran bagi merancakkan pertumbuhan sektor perusahaan sosial di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, skim pembiayaan berkenaan termasuk tawaran melalui SME Bank sehingga RM500,000 dengan kadar faedah serendah tiga peratus bagi membantu pengusaha menaik taraf skala perniagaan mereka.

Menurut beliau, KUSKOP turut memberi pengecualian penuh yuran pendaftaran Perusahaan Sosial Akreditasi bernilai RM300 dan Perusahaan Sosial Asas sebanyak RM50 bermula 1 Ogos hingga 17 September depan.

“Langkah ini bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat tampil berdaftar secara rasmi, selain pemprosesan pendaftaran yang kini diperkemas daripada 90 hari kepada hanya 30 hari.

“Syarikat yang berjaya diiktiraf sebagai Perusahaan Sosial Akreditasi juga layak menikmati insentif pengecualian cukai pendapatan sehingga 31 Disember 2027,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial Malaysia 2026 (KEPS 2026) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Steven Sim menjelaskan, selain dana khusus RM20 juta tersebut, usahawan sosial turut berpeluang mengakses pembiayaan perniagaan am di bawah KUSKOP bernilai RM15 bilion.

Katanya, insentif berkenaan diperkukuh dengan bantuan latihan dan modal perniagaan sehingga RM100,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), manakala Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) memperuntukkan RM1.4 juta tahun ini untuk program pembangunan kapasiti.

Chee Keong berkata, KUSKOP menjadi kementerian pertama di Malaysia yang melaksanakan komitmen perolehan berimpak sosial menerusi kerangka Perolehan Impak Sosial Malaysia (PRISMA), dengan menyasarkan peningkatan perolehan sosial kementerian sebanyak tiga kali ganda kepada RM300,000 berbanding RM100,000 tahun lalu.

“Kita mahu memperluas amalan perolehan impak sosial supaya agensi kerajaan dan sektor korporat membeli produk usahawan sosial secara mampan dan bukannya bersandar kepada simpati semata-mata.

“KUSKOP berdiri di barisan hadapan untuk membantu perusahaan sosial bukan sahaja mendapatkan penganugerahan, tetapi menangani cabaran pengedaran serta struktur pasaran,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 10 organisasi menjadi kumpulan perintis menandatangani PRISMA Social Pledge bagi menzahirkan komitmen mengarusperdanakan amalan perolehan berimpak sosial dalam organisasi masing-masing.

Kumpulan perintis tersebut terdiri daripada Asia School of Business, Sabah Creative Economy And Innovation Berhad (SCENIC), Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC), INSKEN, SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), SME Bank, TEKUN Nasional, SME Corp. Malaysia dan Earth Heir. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN