Dakwaan kerajaan Pulau Pinang tiada kuasa luluskan PSR tidak benar - Utusan Malaysia

Dakwaan kerajaan Pulau Pinang tiada kuasa luluskan PSR tidak benar

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) adalah tidak benar serta tidak mempunyai asas sama sekali.

Pengerusi Jawatankuasa, Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, hal ini demikian kerana, Mahkamah Rayuan pada asasnya telah mengiktiraf kuasa kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tambakan itu melalui Rancangan Struktur Negeri dan kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (NPPC).

Beliau berkata, dalam hal ini, Mahkamah Rayuan juga telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengesahkan bahawa rayuan pihak pemohon perlu ditolak.

“Justeru, adalah sangat jelas bahawa Mahkamah Rayuan tidak pernah membuat sebarang dapatan bahawa kerja-kerja projek PSR dimulakan secara menyalahi undang-undang,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh tujuh nelayan bersama dua buah pertubuhan bukan kerajaan atau NGO iaitu Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) selepas memutuskan bahawa permohonan semakan kehakiman berhubung isu itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan.

Rayuan tersebut sebelum itu telah difailkan oleh tujuh nelayan iaitu Zakaria Ismail, Ibrahim Che Rose, Azhar Najamudin, Ismail Ahmad, Shahril Rosli, Omar Hassan dan Ramdzan Ishak bersama SAM dan JEDI bagi mencabar kebenaran merancang yang diberikan pada 21 Ogos 2023 untuk projek PSR, yang kini dikenali sebagai Pulau Silikon.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, mahkamah telah mengesahkan kuasa kerajaan negeri meluluskan projek tambakan melalui Rancangan Struktur Negeri serta NPPC dan sebarang cubaan memutarbelitkan fakta dengan mendakwa projek tambakan itu haram adalah tidak benar, bersifat sensasi serta tidak bertanggungjawab.

“Mahkamah Rayuan juga memutuskan, sehingga proses tambakan selesai, kawasan laut itu masih berada di bawah pemilikan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Laut Wilayah 2012 sekali gus membawa maksud bahawa kebenaran merancang tidak diperlukan pada peringkat tersebut kerana tanah itu masih belum terbentuk dan belum berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, projek tambakan ini juga telah mendapat kelulusan menerusi Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 yang dipersetujui NPPC sebelum diwartakan pada 24 Oktober 2019 dan mahkamah yang sama turut memutuskan bahawa pihak perayu telah gagal mencabar kesahan Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 serta Pelan Induk PSR dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Semalam, SAM dalam satu kenyataan turut menzahirkan kekecewaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu itu dan akan berbincang dengan perayu-perayu yang lain sama ada mahu meneruskan pemfailan permohonan kebenaran untuk merayu atau sebaliknya selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN