ALOR SETAR: Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung dakwaan bahawa beberapa bot cuba menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya melalui pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Pulau Pinang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai mesej tular yang beredar di media sosial berkaitan perkara itu dan sedang memantau situasi berkenaan.
Menurutnya, setiap maklumat yang diterima berkaitan ancaman terhadap keselamatan serta kedaulatan perairan negara akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.
“Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Penyebaran maklumat yang tidak tepat juga berpotensi mengganggu usaha pemantauan, risikan dan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak awal pagi ini, terdapat dakwaan dimuat naik melalui media sosial kononnya terdapat maklumat yang dikatakan bahawa beberapa buah bot cuba menyeludup masuk warga Rohingya melalui pantai di kawasan terbabit.
Romli berkata, Maritim Malaysia sentiasa mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan operasi menerusi rondaan berterusan, pemantauan berasaskan risikan serta kerjasama strategik dengan agensi lain bagi membanteras sebarang cubaan pencerobohan atau kemasukan PATI melalui laluan laut.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Setiap maklumat risikan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan sempadan maritim negara sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru komuniti nelayan, masyarakat pesisir pantai dan pengguna agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia atau agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Pada 15 Julai lalu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah mendedahkan sindiket penyeludupan etnik Rohingya dikesan mengubah lokasi pendaratan ke sekitar perairan Kerpan, Kuala Kedah, Yan hingga Kuala Muda bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, perubahan taktik itu dilakukan selepas kawalan keselamatan di kawasan pendaratan utama di Langkawi dipertingkatkan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi penguatkuasaan lain. – UTUSAN










