Daiyan Trisha bukan materialistik, lelaki kena pandai ambil hati - Ibu - Utusan Malaysia

Daiyan Trisha bukan materialistik, lelaki kena pandai ambil hati – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGSAR: Ibu kepada pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, Dr. Samsiah Mohd. Nor, menegaskan anak itu bukan seorang yang materialistik dan tidak pernah menjadikan kemewahan sebagai kriteria utama dalam memilih calon suami.

Menurut Samsiah, 61, daripada lima beradik, Daiyan merupakan anak yang paling tidak cerewet dalam soal memilih pasangan.

“Daiyan sebenarnya sangat mudah didekati dan paling tidak memilih antara lima beradik.

“Sampai kami pernah bergurau tentang pilihannya sebelum ini. Bukan menghina, tetapi ketika itu kami tidak sangka itu pilihannya.

“Saya cakap, tidak mengapalah, terpulang kepada dia. Nanti dia sendiri akan tahu apa yang kurang. Umpamanya dia seorang yang laju, tetapi memilih orang yang perlahan. Nanti lelaki itu tidak terkejar pula.

“Ramai ingat dia mencari lelaki yang kaya. Daiyan bukan begitu. Dia memang jenis yang tidak kisah. Sebab itu kami selalu bergurau kerana kadang-kadang pilihannya memang kelakar. Tetapi itu ketika dia masih bersekolah,” katanya.

Samsiah berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual sempena drama Anom Suraya yang berlangsung di Balai Berita, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Samsiah berkata, sebagai ibu, dia tidak pernah menghalang pilihan anaknya, sebaliknya hanya berharap Daiyan bertemu pasangan yang sepadan dengan rentak kehidupannya.

“Carilah yang senada. Kalau dia berlari, lelaki itu boleh mengejar. Jangan pula dia berlari seorang, tetapi pasangannya masih menunggu di belakang. Itu maksud saya.

“Bukan daripada aspek materialistik, tidak. Kalau tahu ambil hatinya, sebenarnya mudah sahaja. Tetapi kalau terlalu perlahan, memang selamat tinggallah. Mungkin Daiyan memang jenis yang laju, macam saya,” katanya.

Dalam pada itu, Samsiah berkata, dia tidak pernah mendesak Daiyan untuk segera menamatkan zaman bujang kerana percaya soal jodoh merupakan ketentuan Allah.

“Lagi pun soal jodohnya, saya tidak terlalu ambil tahu. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuknya.

“Kalau belum sampai, maknanya belum tiba masa yang terbaik. Sama seperti novel saya, Anom Suraya. Selepas 34 tahun barulah ia diadaptasi menjadi drama kerana itulah waktu yang terbaik.

“Jadi kita ikut sahaja apa yang Allah tetapkan. Tidak perlu terlalu memeningkan perkara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN