PETALING JAYA: CIMB Group (CIMB) belum melihat kemerosotan ketara terhadap kualiti aset yang berpunca secara langsung daripada konflik Iran, namun mengambil langkah berhati-hati dengan memperkukuh peruntukan bagi menghadapi potensi risiko dalam segmen tertentu.
Public Investment Bank Berhad berkata, berdasarkan taklimat penganalisis yang diadakan CIMB baru-baru ini, pihak pengurusan memaklumkan hanya terdapat beberapa kelompok pelanggan yang menunjukkan tanda-tanda tekanan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpilih serta peminjam pengguna berpendapatan rendah.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, CIMB merancang untuk mengagihkan semula peruntukan pengurusan berkaitan perdagangan bagi menghadapi risiko yang mungkin timbul, terutama dalam kalangan PKS terpilih dan pengguna berpendapatan rendah yang lebih terdedah kepada kenaikan harga tenaga.
“Bagaimanapun, pihak pengurusan masih belum melihat sebarang kemerosotan ketara dalam kualiti aset yang berkaitan secara langsung dengan konflik Iran,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bank pelaburan berkata, CIMB pada masa sama mengekalkan unjuran kos kredit bagi tahun kewangan 2026 pada 25 hingga 35 mata asas, disokong oleh kualiti aset yang kekal sihat, selain pemulihan pinjaman lama dan pembalikan peruntukan.
Dari segi keuntungan, Public Investment Bank menjangkakan prestasi CIMB akan terus disokong oleh pertumbuhan kukuh pendapatan bukan berasaskan faedah (NOII), yang mampu mengimbangi tekanan terhadap margin faedah bersih (NIM).
Menurutnya, peningkatan NOII didorong oleh prestasi lebih baik dalam pendapatan dagangan dan pertukaran asing susulan ketidaktentuan pasaran, selain pertumbuhan yuran pengurusan kekayaan di Malaysia dan Singapura hasil peningkatan aset di bawah pengurusan (AUM) serta pertambahan pelanggan.
“Walaupun CIMB Niaga dijangka terus berdepan tekanan margin berikutan keadaan mudah tunai yang ketat di Indonesia, kami menjangkakan keadaan itu akan diimbangi oleh normalisasi NIM di Malaysia.
“NIM di Malaysia dijangka mula stabil selepas pelarasan kadar deposit susulan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai tahun lalu,” ujarnya.
Bank pelaburan berkata, pertumbuhan pinjaman CIMB kekal sihat dari suku ke suku, disokong oleh saluran pinjaman borong yang kukuh di Malaysia dan Singapura.
“Namun, pihak pengurusan kekal berhati-hati terhadap pasaran Indonesia apabila pertumbuhan pinjaman komersial dan pembiayaan automotif dijangka lebih sederhana.
“Sebagai persediaan menghadapi permintaan pinjaman yang lebih tinggi dan keadaan mudah tunai yang lazimnya lebih ketat pada separuh kedua tahun ini, CIMB telah meningkatkan kedudukan mudah tunainya lebih awal bagi mengoptimumkan kos pendanaan serta mengurangkan keperluan bersaing secara agresif mendapatkan deposit menjelang akhir tahun,” ujarnya.
Public Investment Bank mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap saham CIMB dengan harga sasaran (TP) RM9.10, berdasarkan jangkaan prestasi pendapatan yang kekal berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan NOII serta hasil dividen yang menarik sekitar enam peratus. –UTUSAN










