Cerita musim berwajah cuka (ii)

Cerita musim berwajah cuka (ii)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mulai saat ini, aku haramkan kaki kau melangkah ke rumah Along lagi.” Urat tumbuh berselirat dengan pantas di leher dan dahi Nazif. Matanya membara. Kemarahannya memuncak.

“Abang!” Hanya sepatah kata terpacul dari mulut isterinya, Firah. Tubuhnya lemah jatuh terpuruk di riba sofa kelabu yang terletak di tengah ruang tamu.

Manik-manik putih berguguran dari kolam sabar di wajah Firah. Tiada apa lagi yang boleh menahan sebak di dada setelah kata-kata suaminya seperti sebuah protokol yang wajib dituruti.

“Selagi Along asyik berkata buruk tentang pemimpin parti aku, selagi tu lah, dia akan ku anggap musuh. Dia bukan lagi abang iparku. Faham?”

Amaran Nazif seperti lembing yang menjunam dari langit. Tajamnya dendam bukan saja melukakan perhubungan dia dan abang iparnya, tetapi mencincang perasaan kasih sayang antara saudara kandung Firah dan abang sulungnya.

Tak tercapai akal Firah apabila hal politik menjadi barah dalam perhubungan keluarganya. Sungguh kejam politik menyusup ke dalam pemikiran suaminya yang mula taksud pada pemimpin parti yang dipujanya.

Semuanya bermula apabila pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kaca TV ketika Nazif dan Along rancak bersembang di ruang tamu. Pilihan raya negeri (PRN) bakal diadakan tidak lama lagi setelah penggal pemerintahan hampir tamat.

Inilah titik tolak pergolakan keluarga Nazif. Pada mulanya, Nazif dan isteri bertandang ke rumah abang iparnya. Niat mereka cuma menziarahi kakak iparnya yang terlantar di atas katil akibat lumpuh.

“Nazif, masuk bertanding ke kali ini?” soal Along dengan muka seperti kerang, tersengih sehingga lidah terjelir dengan nada mengejek.

Soalan itu menerjah gegendang telinga lelaki berbadan tegap dalam lingkungan usia awal 40an.

“Aik lain macam soalan Along ini? Tajam sungguh,” balas Nazif dengan wajah yang bertukar dari bulan purnama kepada mentari berwajah naga.

“Aku bukan apa, kan ketua kau dah dihumban ke dalam penjara, kau pula antara orang kanan yang suka mengampu dia sebelum ini. Eloklah kalau kau jadi calon, cuma jangan ikut perangai dia sudahlah, kaki rasuah. Hahaha.” Ketawa berdegar-degar lari dari mulut Along menerjah ke sepasang telinga Nazif.

Tiada lagi sekuntum senyum tumbuh di wajah lelaki itu. Wajahnya seperti dicurah cuka. Berbau masam. Sentap. Bara menyala di wajah Nazif.

Firah!
Firah!
Firah! balik sekarang!

Suara garau Nazif memantul di dinding papan. Kelibat perempuan berbaju kurung berwarna biru muncul dari pintu dapur.

“Kenapa bang? Awal lagi dah nak balik,” soal Firah kehairanan.

Nazif bingkas meninggalkan empuk sofa berwarna merah hati. Along masih tersengih-sengih bersandar di hadapan Nazif. Hatinya puas dapat memerli Nazif hari ini.

Perseteruan di antara ipar duai ini akan muncul empat-lima tahun sekali. Pantang ada pilihan raya. Mereka berdua bukan dari satu parti yang sama. Kedua-dua berlainan ideologi. Taksubnya lelaki berdua ini pada parti masing-masing ibarat perang saudara antara Korea Utara dan Korea Selatan. Masing-masing punya ego tersendiri. Dingin.

“Balik aku kata, balik!” Bentak Nazif. Ruang tamu rumah kayu milik lelaki lewat 60an itu bergegar dek jerkah nazif seperti guruh menikam langit.

“Orang tua ini sudah gila, tak habis-habis mengata pemimpin aku. Macamlah pemimpinya maksum. Padahal terlibat skandal dengan perempuan sini sana. Harap imej saja bersongkok. Perangai serupa syaitan.” Nazif melepaskan geram seperti taburan peluru hidup ke arah Along.

Lantai kayu terjerit-jerit diinjak tumit nazif sambil tangannya kuat menggenggam lengan Firah, mengheret isterinya yang masih terpinga-pinga menuruni tangga rumah Along.
Cahaya lampu dari kereta berjenama Eropah dipandu Nazif semakin terang menuju jalan besar ke arah Kuala Wau. Rumah Along pula sudah kelam. Sekelam perhubungan silaturahim antara dia dan Nazif.

(II)
Matahari mengintai dari tabir kabus. Deruman motosikal lalu lalang di jalan raya sepanjang pantai ini menenggelamkan ombak yang berlagu lunak ketika air laut surut. Kelibat beberapa orang kampung berkopiah di warung milik Pak Nusi sudah menjadi kebiasaan di awal pagi.

Rutin beberapa jemaah yang pulang menunaikan solat subuh di masjid singgah menikmati sarapan tidaklah mengejutkan. Kopi o dan nasi lemak di kedai Pak Nusi memang menyelerakan.

Barangkali aroma kopi kampung dan nasi lemak yang dibungkus daun pisang membuatkan pelanggannya ketagih.

“Haaa, pilihan raya lagi kita ini,” ujar Imam Syafiq, imam satu Masjid Kuala Wau.

Iqbal yang baru saja mencicip kopi dari cawan kaca bercorak bunga tiba-tiba berhenti dan suaranya muncul.

“Kali ini aku akan pastikan YB kawasan ini kalah teruk. Padan muka dia.” Lentik misai Iqbal mengeras dan matanya terjojol.

“Aik, tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba kau marah ni kenapa Iqbal?” Soal Imam Syafiq sambil menyelak helaian surat khabar Mingguan Malaysia.

Pak Nusi tiba dengan dua buah pinggang yang berisi dengan dua bungkus nasi lemak. Diletakkan kedua-duanya di hadapan Iqbal dan seorang pelanggan lain.

“Mana taknya si Iqbal tu marah, bantuan yang dia minta tak lulus.” Pak Nusi mencelah. Jawapnya secara berseloroh.

Beberapa jemaah lain ketawa berdekah-dekah hingga ada kopiah tertanggal akibat kepala bergoyang ketika ketawa. Jawapan Pak Nusi itu seperti sebuah sketsa lawak.

“Bantuan apa yang kau minta Iqbal?” Soal imam satu.

Raut wajah Iqbal semakin keras. Seperti selut garing di muara ketika musim kemarau. Tak ada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya yang tertutup rapi. Mungkin masih terkesan dengan bunyi ketawa yang keluar dari mulut jemaah.

“Apa kau minta Iqbal? Tiba-tiba kau jadi bisu pula.” Pak Nusi menambah soalan, sambil memegang kain buruk untuk membersihkan meja yang baru saja ditinggalkan pelanggan.

“Saya… Saya… Saya minta 100 ekor kambing untuk saya ternak,” jawab Iqbal tergagap-gagap.

Sekali lagi warung Pak Nusi bergegar dengan ketawa berlari keluar dari mulut orang kampung.

“Kau pun satu Iqbal, dua tahun lepas YB adun ada bagi kau 20 ekor lembu. Tapi tak sampai sebulan kau jual semua lembu itu pada Ridz, tokey lembu di Perlis tu. Rugi sungguh cara begitu,” jawab imam cuba menegur perbuatan Iqbal yang tidak beretika. Lembu itu sepatutnya diternak dan membiak supaya perniagaan itu berpanjangan. Tetapi itulah perangai sesetengah masyarakat

apabila diberi bantuan. Mereka lebih ghairah mendapat keuntungan secara gelojoh. Bukannya berfikiran jauh. Perangai seperti Ali Baba.

“Ahhh, Yb tu saja tak nak bantu saya, bukannya dia tak tahu saya memang pangkah dia masa mengundi dulu. Kali ini memang saya takkan undi dia lagi. saya akan hasut orang kampung, boikot undi dia. Puas hati saya.” Kumat kamit mulut Iqbal mengutuk YB adun.

“Semua orang tak betul, kau seorang sajalah betul Iqbal,” perli Pak Nusi sambil langkahnya menuju ke dapur dengan tangannya penuh pinggan kotor ditinggalkan pelanggan.

“Pak Nusi pun sama la perangai, dengki dengan saya, huh!.” Kepala Iqbal seperti berasap menahan marah dan malu. Cepat-cepat dia meninggalkan kopi yang masih hangat di atas meja dan nasi lemak yang terbaring ditanggal balutan daun pisang.

“Hutang kau di kedai aku jangan buat-buat lupa,” laung Pak Nusi sambil membancuh kopi untuk pelanggan. Dan orang kampung lain sekali lagi pecah perut menahan ketawa.
(III)

Pelepah kelapa berbaris melambai-lambai ditiup angin dari arah Laut China Selatan. Beberapa orang remaja lelaki sedang berkejaran di atas padang. Aktiviti bermain bola merupakan rutin bagi remaja Kampung Kuala Wau pada waktu petang.

“kamu semua ada nampak Nizam? Sudah dua hari tak nampak batang hidungnya di padang” Soal Hafiz kepada kawan-kawannya.

Bayang-bayang Nizam yang tak kelihatan menjadi tanda tanya. Jarang dia tidak bermain bola bersama kawan-kawan di padang. Entah ke mana hilangnya remaja 14 tahun yang bersekolah di SMK Kuala Wau.

“Aku rasa ayahnya masih marah pada kita, ayahnya tak mahu Nizam berkawan dengan kita lagi.” Suara kecil dari mulut Khoo tiba-tiba membesar di kepala Hafiz.

Hafiz masih ingat kejadian minggu lepas. Ketika ayah Nizam memberi peringatan tegas kepada Khoo dan dirinya, bahawa Nizam tidak lagi akan berkawan dengan remaja lelaki di kampung itu.
“Kenapa pakcik cakap begini? “ soal Hafiz.

“Aku tak nak Nizam ikut perangai kamu semua. Perangai orang liberal. Sebab keluarga kamu semua ni penyokong parti liberal. Aku tak suka. Aku benci,” tegas ayah Nizam kali ini.

Jawapan ayah Nizam masih tidak boleh dihadam Hafiz. Entahlah, remaja seawal usia 14 tahun seperti mereka berdua masih belum mengerti soal parti. Mereka cuma tahu erti sebuah persahabatan. Bagi mereka, baju mereka berwarna putih. Sama. Tidak pula merah, hijau, biru atau kuning.

Pernah juga Khoo berkata, dia rela menjadi kanak-kanak kerana ketika itu, mereka masih bebas berkawan. Tiada pula halangan daripada orang tua mereka.
(IV)

Matahari bengis menggigit kulit-kulit penduduk kampung yang sedang menguruskan jenazah abang ipar kepada Nazif.

Kematian mengejut ini disebabkan serangan jantung apabila mendengar khabar berita tentang skandal seorang pemimpin yang disokong beliau.

Sungguh tidak disangka-sangka pemimpin pujaannya berkelakuan begitu. Selama ini dia beranggapan berita itu sekadar fitnah yang dicipta pihak parti lawan.

Namun, kejadian pemimpin utama parti yang disokong ditangkap khalwat bersama beberapa wanita warga asing itu benar-benar menyesakkan dadanya. Satu serangan jantung datang tiba-tiba.

Nazif tidak hadir, hanya Firah kelihatan berjubah hitam menangis teresak-esak di bawah khemah ketika talqin dibacakan. Nazif pernah bersumpah, tidak akan hadirkan diri ke apa-apa acara atau kenduri melibatkan keluarga abang iparnya itu termasuk soal sakit dan kematian. Ketaksubannya terhadap pemimpin partinya melebihi segala-galanya.

Nizam, remaja 14 tahun hanya memandang dari pagar kubur bersama basikal sumbangan pihak ADUN Kuala Wau. Dia tidak berani berjumpa Hafiz, Khoo dan rakan-rakan lain yang membantu orang kampung menggali kubur sebentar tadi. Takut-takut ayahnya mengetahui yang dia masih berkawan dengan anak-anak penyokong parti liberal seperti mana yang selalu disebut ayahnya.

Pantang betul ayahnya jika Nizam tidak mematuhi arahan. Biarlah Nizam menjarakkan diri agar semua pihak tidak mendapat kesan buruk. Bagi Nizam, inilah yang terbaik.

Kelibat Iqbal juga tidak kelihatan. Selalunya dia antara orang kampung yang akan menggali kubur jika terdengar berita tentang kematian mana-mana penduduk Kampung Kuala Wau. Mungkin masih terasa hati dengan jemaah masjid yang ketawakan kelakuan beliau bulan lepas di kedai Pak Nusi. Barangkali menyampah dengan Imam Syafiq yang mengetuai bacaan talqin di kubur.

Kelibat Yb ADUN yang baru dilantik juga tidak kelihatan. Mungkin sibuk di kota raya.

Kuala Wau seperti kampung, desa, dan bandar yang lain apabila tiba musim pilihan raya. Semuanya berwajah cuka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN