PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan kesihatan khusus, Cengild Medical Berhad (Cengild Medical) melangkah keluar dari Lembah Klang buat julung kalinya menerusi cadangan usaha sama (JV) bagi membangun dan mengendali sebuah hospital swasta di Pulau Andaman, Pulau Pinang, dengan anggaran pelaburan sehingga RM350 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cengild Medical berkata, usaha sama itu dijayakan menerusi kerjasama strategik bersama KCB Holdings Sdn. Bhd. (KCB), anak syarikat milik tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O) serta Skyspring Sdn. Bhd. (Skyspring).
Menerusi perjanjian berkenaan, Cengild Medical akan memegang 25 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama (JV Co) yang bakal ditubuhkan iaitu Andaman Healthcare Sdn. Bhd., manakala Skyspring dan KCB masing-masing memegang 45 peratus dan 30 peratus ekuiti.
Katanya, hospital swasta yang bakal dibina di atas tanah seluas tidak kurang daripada kira-kira 0.81 hektar di Pulau Andaman itu dijangka mempunyai kapasiti kira-kira 240 katil dan dibangunkan secara dua fasa.
“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan RM350 juta, sebanyak RM245 juta (70 peratus) dijangka dibiayai menerusi pinjaman bank oleh JV Co, manakala RM105 juta (30 peratus) sisanya bakal disumbangkan oleh rakan kongsi usahasama mengikut pegangan saham masing-masing.
“Bahagian sumbangan ekuiti Cengild Medical dianggarkan berjumlah RM37.50 juta dan akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman kumpulan,” katanya.
Mengenai peranan rakan kongsi, Cengild Medical bertanggungjawab memberi nasihat dari segi pembangunan, reka bentuk, keperluan teknikal, pematuhan kawal selia, teknologi perubatan serta menyediakan perkhidmatan pengurusan operasi hospital.
KCB pula bertanggungjawab mengenal pasti dan memudah cara pemperolehan tanah di Pulau Andaman serta menguruskan pembinaan hospital, manakala Skyspring berperanan sebagai entiti khas bagi memegang kepentingan kumpulan sehingga 30 pelabur strategik termasuk pakar perubatan serta merangka strategi kepakaran perubatan.
Mengulas lanjut, Cengild Medical berkata, langkah perluasan itu memanfaatkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama pelancongan perubatan negara, yang mencatatkan lonjakan ketibaan pesakit warga asing sebanyak 26 peratus kepada 527,176 orang pada tahun 2025 dengan menyumbang pendapatan RM1.14 bilion.
“Pembinaan hospital ini juga bersedia memenuhi keperluan kesihatan penduduk di perbandaran pesisir pantai Pulau Andaman milik E&O yang dijangka menampung kira-kira 250,000 penduduk menjelang 2056.
“Projek pembinaan dijangka bermula selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa berkenaan dengan sasaran mula beroperasi menjelang suku keempat 2029,” katanya.
Sehubungan itu, Cengild Medical bakal mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham pada dalam masa terdekat ini.
Syarikat turut menambah bahawa Lembaga Pengarah berpendapat cadangan usahasama tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan mengesyorkan pemegang saham untuk menyokong resolusi berkenaan. –UTUSAN










