Calon BN DUN Penawar mahu tindak pantas selesai isu setempat

Calon BN DUN Penawar mahu tindak pantas selesai isu setempat

FAUZIAH Misri akan meneruskan aktivitinya selama ini mendekati rakyat bagi mendengar keluh kesah mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar yang juga calon Barisan Nasional (BN), Fauziah Misri kini menetapkan matlamat untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar dan pantas bertindak menyelesaikan masalah setempat, bukannya menghilangkan diri selepas menang.

Beliau yang mesra disapa ‘Kak Gee’ berkata, bagaimanapun setiap tekad tersebut perlu bersifat realistik demi kepentingan semua penduduk di kawasan DUN berkenaan.

Malah, beliau berkata, setiap mandat rakyat bukanlah satu keistimewaan untuk bermegah, sebaliknya amanah berat yang menuntut komitmen berterusan di lapangan.

“Kalau saya diberi mandat sekali lagi, saya tidak akan tinggalkan aktiviti rutin turun padang, mendengar masalah masyarakat dan membawa setiap isu kepada pihak berkaitan sehingga selesai.

“Kemudahan asas akan ditambah, peluang ekonomi diperkukuh, membantu golongan belia, wanita serta warga emas, di samping memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

“Saya tidak mahu menjanjikan perkara di luar kemampuan, tetapi saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh, amanah dan sentiasa bersama rakyat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai isu wanita yang didakwa sesetengah pihak sebagai golongan tidak boleh memimpin, Fauziah berkata, aliran pemikiran sedemikian sudah lapuk dan ketinggalan zaman.

“Siapa kata wanita tidak boleh memimpin? Lihat sahaja Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang telah berkhidmat selama enam penggal tanpa sebarang masalah.

“Isu jantina tidak sepatutnya dijadikan halangan, malah sokongan yang saya terima datang daripada semua lapisan masyarakat termasuk kaum lelaki dan golongan belia,” katanya.

Menyentuh mengenai strategi memikat pengundi muda, Fauziah berkata, golongan berkenaan tidak lagi boleh didekati dengan kaedah politik lama atau sekadar disogok dengan manifesto retorik.

Justeru, beliau memulakan strategi dengan menyantuni golongan tersebut dalam kawasan komuniti setempat bagi memahami aspirasi sebenar generasi baharu DUN Penawar.

Dalam pada itu, Fauziah turut menepis tindakan pihak lawan yang cuba menangguk di air keruh berhubung isu infrastruktur di Felda Air Tawar 1 dan projek perumahan Felda Generasi Kedua di Papan Timur.

Beliau menjelaskan, peruntukan sebanyak RM300,000 bagi Felda Air Tawar 1 sebenarnya telah diluluskan dan kerja-kerja awal telah pun bermula sebelum pihak lawan datang memainkan isu tersebut.

“Mengenai isu penempatan generasi kedua pula, ia bukannya terbengkalai tetapi perkembangannya sedikit perlahan ekoran kegagalan kontraktor terdahulu.

“Pihak Felda sudah bersetuju melanjutkan Extension of Time (EOT) dan kontraktor baharu kini sedang menjalankan kerja seperti biasa.

“Agensi terlibat amat bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau menambah, pengalamannya yang pernah menguruskan hal ehwal sosiopolitik di bawah Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri serta penglibatan dalam sektor perbankan sebelum ini menjadi aset penting untuk memahami dan menyelesaikan kerenah birokrasi demi rakyat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN