SETIU: Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan merogol anak perempuannya sejak tahun lalu sehingga April tahun ini.
Wan Hanipah Wan Musa, 52, yang juga seorang buruh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fadhli Mahmud. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit terhadap anaknya ketika kejadian berusia antara 13 hingga 14 tahun.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di daerah ini Setiu Januari, Mac dan April 2025, kira-kira pukul 1.30 petang. Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama pada awal Januari lalu, kira-kira pukul 5 petang di lokasi yang sama ketika mangsa berusia 14 tahun.
Untuk pertuduhan kelima pula, suspek didakwa sekali lagi merogol mangsa pada 12 April lepas kira-kira pukul 8.30 pagi di lokasi sama.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol seorang perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang dilarang di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis terdekat sehingga kes selesai dan tidak boleh tinggal bersama anak iaitu mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee dan Nur Atifah Manaf. Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN










