KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki sebilah pisau di tempat awam tanpa alasan yang sah dan selaras senapang tiruan tanpa lesen di depan sebuah hotel di sini, April lalu.
Mohd. Zulkarami Ruslan, 45, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran kira-kira 30 sentimeter di tempat awam tanpa maksud yang sah atau kebenaran daripada pihak berkuasa di depan sebuah hotel di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini,kira-kira pukul 11 malam pada 30 April lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Zulkarami dituduh memiliki sepucuk senapang tiruan tanpa lesen yang sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 12 Ogos ini untuk pembentangan fakta kes dan prosiding jatuh hukum. – UTUSAN










