Bunyi letupan kecil di Laluan Kelana Jaya berpunca daripada dawai - Rapid KL - Utusan Malaysia

Bunyi letupan kecil di Laluan Kelana Jaya berpunca daripada dawai – Rapid KL

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid KL mengesahkan insiden bunyi letupan kecil yang berlaku di Laluan Kelana Jaya semalam dipercayai berpunca daripada seutas dawai halus yang tersangkut pada sistem bekalan kuasa.

Menurut kenyataan Rapid KL, kejadian berlaku pada pukul 7.18 malam semalam ketika sebuah tren bernombor 57 berada di Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights.

“Sebagai langkah keselamatan, tren berkenaan segera dikeluarkan daripada perkhidmatan dan semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut dan perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Rapid KL berkata, pemeriksaan awal yang dijalankan pasukan teknikal mendapati tiada sebarang kerosakan pada tren mahupun komponennya.

“Pemeriksaan ke atas landasan di antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya turut mendapati infrastruktur berada dalam keadaan baik dan selamat untuk operasi, manakala pemeriksaan terperinci diteruskan selepas tamat waktu operasi sebagai langkah pengesahan.

“Hasil siasatan mendapati terdapat seutas dawai halus yang bukan sebahagian daripada komponen tren mahupun landasan telah cair di lokasi kejadian.

“Dawai tersebut dipercayai tersangkut pada sistem bekalan kuasa sehingga menyebabkan bunyi letupan kecil berkenaan,” katanya.

Katanya, pihak Rapid KL memandang serius setiap insiden yang melibatkan aspek keselamatan dan akan meneruskan siasatan serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Penumpang disarankan mendapatkan status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya menerusi laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN