PETALING JAYA: Pelakon, Aniq Suhair, tidak berhasrat menyertai pertandingan kecergasan popular, Hyrox, kerana fokusnya ketika ini adalah untuk membina jisim otot, bukannya meningkatkan ketahanan fizikal.
Aniq atau Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 24, berkata, dia bukan individu yang gemar mengikut trend semata-mata, termasuk fenomena Hyrox yang semakin mendapat perhatian.
“Saya tidak terikat dengan perkara yang sedang tular. Kalau sesuatu itu menjadi trend, biarlah orang lain yang lakukannya. Saya bukan seorang yang fear of missing out (FOMO).
“Sasaran bentuk badan saya berbeza. Sekarang saya mahu menambah berat badan dan membina otot. Hyrox pula lebih memberi penekanan kepada aspek ketahanan, jadi itu bukan fokus saya ketika ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Aniq berkata, usaha mengubah penampilan fizikal bukan didorong tuntutan watak atau persiapan untuk membintangi filem aksi, sebaliknya sebagai cabaran peribadi.
“Saya membina badan bukan kerana projek, tetapi mahu menguji kemampuan diri. Saya ingin melihat sejauh mana saya mampu mencapai tahap terbaik.
“Saya ke gimnasium empat kali seminggu dan sudah mengamalkan rutin itu sejak setahun lalu.
“Walaupun jadual penggambaran padat, saya tetap berusaha mendapatkan rehat yang mencukupi selain mengambil suplemen bagi mengekalkan bentuk fizikal,” katanya. -UTUSAN










