SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) akan terus berkempen sebagai bukan pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan meskipun terdapat pihak yang meramalkan gabungan itu berpeluang mencipta kemenangan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, status itu penting bagi memastikan seluruh kepimpinan dan jentera parti terus bekerja keras tanpa bersikap terlalu yakin.
“Kamibmemang ‘underdog’ kerana kerajaan negeri ketika ini diterajui gabungan parti lain walaupun kita bersama di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Kami tidak mahu kelihatan terlalu yakin. Pegangan sebagai ‘underdog’ ini penting supaya pemimpin dan jentera terus merendah diri, memberi tumpuan kepada setiap kumpulan sasaran serta mengelakkan kenyataan yang tidak disenangi pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Pekebun Kecil Risda Peringkag Zon Tengah Tahun 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, BN akan terus menyantuni pengundi sepanjang baki tempoh berkempen dan merayu rakyat Negeri Sembilan memberi peluang kepada gabungan itu untuk kembali mentadbir negeri berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai calon Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, parti itu mempunyai 10 calon yang layak dipertimbangkan dan keputusan hanya akan dibuat selepas memperoleh mandat rakyat.
“Kami mempunyai 10 orang calon dan kami akan kemukakan yang terbaik apabila kami sudah melepasi jambatan itu (when we cross the bridge),” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan supaya Presiden Parti Wawasan Negara (Wasasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebabagu calon Perdana Menteri, Ahmad Zahid menyifatkan cadangan itu sebagai baik dan berharap agar ia berjaya direalisasikan.
“Saya rasa itu satu cerita-cerita yang baik dan saya rasa itu mungkin satu usaha yang sangat-sangat disanjung oleh semua parti-parti politik di negara kita. Saya berdoa mudah-mudahan, kita ucapkan selamat berjaya,” katanya.-UTUSAN










