JOHOR BAHRU: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menepis dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan menganggapnya sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, empat kerusi yang ditandingi MCA di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, Paloh, Layang-layang dan Stulang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan PN.
“Empat kerusi BN-MCA berdepan saingan tiga penjuru menentang PH dan PN. Ini saja sudah cukup untuk menjawab dakwaan PH-DAP bahawa PN bantu BN.
“Semalam, saya hadir ke ceramah di Jementah untuk berkempen bagi calon BN, See Ann Giap yang menentang DAP dan PAS. Jika MCA diberi laluan mudah oleh PN, mengapa calon kita perlu lawan PH dan PN,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Ka Siong turut memuji Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkan memiliki kepimpinan tegas dan berjaya memastikan Johor berada di landasan pembangunan serta menjamin pertumbuhan ekonomi sejak mentadbir pentadbiran negeri pada 2022.
Beliau turut menyeru pengundi di DUN Jementah supaya memberikan mandat kepada Ann Giap bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.
Dalam pada itu, Ka Siong turut menolak dakwaan calon MCA yang tewas boleh dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan atau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Perkara itu hanya rekaan semata-mata kerana tidak selaras dengan Perlembagaan Negeri Johor. Menyebarkan cerita dongeng sedemikian mungkin kelihatan menarik dan sensasi, tetapi ia tidak dapat mengubah fakta dan realiti,” katanya. – UTUSAN










