MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempergiat gerak kerja bagi memikat pengundi menjelang 24 jam terakhir tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum hari pengundian esok.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, parti itu tidak akan leka, sebaliknya terus meningkatkan usaha mendekati pengundi di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Menurut beliau, semua calon Perikatan Nasional (PN), khususnya daripada Bersatu, menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekali gus meningkatkan keyakinan untuk mencatat kemenangan.
“Alhamdulilah setakat ini kempen Bersatu Johor berjalan dengan sangat lancar, ramai pengundi yang saya sudah berjumpa, tanpa mengira kaum, semua kami santuni di pelbagai tempat
“Menjelang 24 jam terakhir ini, saya sebagai calon di DUN Bukit Kepong akan terus bergerak aktif, jumpa seramai mungkin dan memastikan media menularkan setiap aktiviti dan program saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Maokil, Bukit Kepong di sini.
Beliau berkata, pendekatan sama akan diguna pakai oleh semua calon Bersatu bagi memastikan pengundi PRN Johor mengenali mereka dengan lebih dekat.
“Ini untuk memastikan semua masyarakat dan golongan mengenali saya dan calon-calon dari Bersatu yang lain serta tahu apa yang kami lakukan sepanjang kempen berlangsung,” katanya.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut optimis dapat meneruskan khidmatnya di DUN Bukit Kepong berdasarkan respons dan reaksi positif yang diterima daripada pengundi.
“Apabila saya jumpa semua orang di sini, Alhamdulilah mereka kenal dan sokong saya. Mereka tahu bahawa saya Insya-Allah sentiasa menyantuni dan prihatin kepada mereka.
“Saya mewakili DUN Bukit Kepong sudah selama dua penggal atau lapan tahun, jadi Insya-Allah saya optimis untuk penggal kali ini, saya juga sudah berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” katanya.
Mengulas kesediaan Pas untuk menyumbang kerusi yang dimenangi kepada UMNO sekiranya parti itu tidak memperoleh majoriti mudah, Sahruddin berkata, beliau akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan Bersatu.
“Saya akur apa pun keputusan yang akan ditentukan oleh kepemimpinan Bersatu,” katanya.










