KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengenakan hukuman denda keseluruhan RM35,000 ke atas tiga majikan selepas mengaku bersalah membenarkan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis di bawah kawalan masing-masing.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Veeriah Al Muthiah, 72; Amirul Azrin Zakaria, 32, dan Muhammad Hashim Kaw, 45, selepas mereka mengaku bersalah sebaik sahaa pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Veeriah didenda RM20,000 atau berdepan penjara empat bulan jika gagal membayar denda selepas didapati membenarkan empat PATI terdiri daripada dua warga Indonesia dan dua warga Bangladesh tinggal di rumah pekerja di Ladang Sri Alam Sdn. Bhd., Kampung Gong Batu, Permaisuri, Setiu dekat sini, 1 Julai lalu.
Amirul pula didenda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda kerana membenarkan dua warga Myanmar tinggal di sebuah kilang beras dan minyak di Taman Seri Budi, Padang Midin, 6 Julai lalu.
Muhammad Hashim pula didenda RM5,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda selepas membenarkan seorang warga Myanmar tinggal di bengkel motosikal miliknya di Jalan Besar Kampung Batu 5, Dungun pada 8 Julai.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiganya yang mempunyai kuasa dan kawalan ke atas premis masing-masing didakwa membenarkan PATI masuk atau tinggal di premis berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang ditemui di premis.
Berdasarkan fakta kes,semua tertuduh ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Terengganu di premis masing-masing antara pada awal Julai lalu. – UTUSAN










