CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian akses dan langganan perisian kecerdasan buatan (AI) kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun yang melengkapkan modul pembelajaran menerusi platform Rakyat Digital.
Perdana Menteri berkata, akses AI itu adalah antara tawaran program Al Untuk Rakyat yang dilancarkan bagi memacu kefahaman dan penggunaan Al, terutama dalam kalangan belia di negara ini.
Beliau berkata, buat masa ini, pemberian akses itu membabitkan kohort umur 18 hingga 30 tahun yang akan diselaraskan oleh Kementerian Digital.
“Kementerian Digital akan menyiapkan modul-modul kursus AI berkenaan,” katanya katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.
Katanya, belia yang telah melengkapkan kursus AI berkaitan akan melanggan secara percuma untuk tempoh tiga bulan dengan aplikasi AI terkemuka.
Anwar berkata, modul-modul kursus AI yang ditawarkan di bawah program itu termasuk Keselamatan Al, Cyber SAFE, Agentic Al, Generatif Al dan Cloud Untuk Rakyat.
“Program AI Untuk Rakyat dan akses langganan itu diberikan kepada orang yang telah ikuti kursus yang tentunya mudah.
“Kita nak pastikan program AI Untuk Rakyat ini yang percuma dibuka mulai 31 Ogos 2026. Jadi Hari Merdeka kita lancarkan, kita anggarkan beri manfaat kepada 100,000 anak-anak muda,” katanya.
Katanya, beliau tidak mahu dalam kerancakkan negara mengejar teknologi AI, ada rakyat yang terpinggir dan tidak didedahkan dengan teknologi itu.
“Maka sebab itu, penggunaan AI, kempen penerangan AI untuk rakyat itu mesti ditingkatkan sebagai satu keutamaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelancaran AI Malaysia dan AI Nexus menandakan pembukaan lembaran baharu dalam sejarah transformasi digital negara ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kecerdasan buatan (AI Nation).
Katanya, agenda itu merupakan antara langkah paling penting yang sedang digerakkan kerajaan bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi global yang berkembang pesat.
“Pembentukan rangka kerja AI negara bukan sekadar memperkenalkan dasar atau program baharu, sebaliknya membina kerangka pembangunan yang mampu mengubah landskap ekonomi, pendidikan dan pentadbiran negara pada masa depan.
“Hari ini sebenarnya satu pembukaan tirai lembaran sejarah yang sangat penting bagi negara yang telah memberi tumpuan kepada soal transformasi digital dan kemudian merangkul kekuatan induknya iaitu AI Malaysia serta AI Nexus,” katanya.-UTUSAN










