Bagi RM3 lepas rogol, penganggur dipenjara 10 tahun

Bagi RM3 lepas rogol, penganggur dipenjara 10 tahun

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, tahun lalu.

Hakim Mohd. Kafli Mohd. Che Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hilmee Kusnan, 49, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Tertuduh pada mulanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut dan hari ini ditetapkan untuk hari pertama perbicaraan namun Hilmee menukar pengakuannya kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa telah merogol seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun sewaktu kejadian, pada pukul 10.30 pagi, 4 September 2025 di sebuah pangsapuri di Cheras di sini.

Pada masa, tarikh dan tempat sama, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang tinggal di pangsapuri sama tetapi berlainan tingkat.

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 ( 2) (e) kanun sama yang memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Sementara untuk pertuduhan amang seksual tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan hukuman sebat.

Menurut fakta kes, ketika dalam lif pangsapuri berkenaan, tertuduh telah menarik kanak-kanak itu keluar apabila lif berkenaan berhenti di tingkat empat bangunan itu dan membawanya ke rumah.

Pada ketika itu, hanya mangsa dan tertuduh di dalam lif berkenaan.

Setibanya di rumah tertuduh, mangsa telah dibawa ke dalam sebuah bilik sebelum Hilmee melakukan perbuatan terkutuk itu kepada kanak-kanak terbabit.

Selepas itu, tertuduh kemudian menghantar mangsa ke lif, memberinya RM3 serta amaran kepadanya agar tidak memberitahu sesiapa sebelum menyuruh mangsa pulang ke rumah.

Setibanya di rumahnya, mangsa kemudian bersiap untuk ke sekolah. Sewaktu menunggu bas, mangsa memberitahu kejadian itu kepada rakannya sebelum rakannya itu memaklumkan perkara itu kepada ibunya (ibu rakan).

Ibu kepada kawan tersebut kemudian memberitahu kepada ibu mangsa yang kemudian membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.

Ketika mengemukakan rayuan, peguam bela, Dr. Mohammad Ismail Yunus memohon anak guamnya diberikan hukuman ringan kerana itu merupakan kesalahannya yang pertama.

Peguam terbabit turut meminta agar Hilmee tidak dikenakan hukuman sebat kerana tertuduh mempunyai penyakit kencing manis.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syakira Aliana Alias memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira umur mangsa yang masih kanak-kanak iaitu berusia lapan tahun dan trauma yang dialami.

“Dalam kes ini tertuduh dan mangsa tidak mengenali. Akibat kejadian ini, meninggalkan trauma kekal terhadap mangsa,” kata Noor Syakira. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN