Aurelius Hospital Negeri Sembilan lancar pusat kanser

Aurelius Hospital Negeri Sembilan lancar pusat kanser

Tuanku Muhriz Munawir disaksikan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan menandatangani plak perasmian Aurelius Hospital Negeri Sembilan (AHNS) dan pusat kanser baharunya di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aurelius Hospital Negeri Sembilan (AHNS) mencipta kemajuan penting dalam penjagaan kanser di negeri itu melalui pelancaran Pusat Kanser Aurelius, baru-baru ini.

Dibangunkan khusus untuk menyediakan perkhidmatan onkologi yang menyeluruh, pusat kanser itu menjadikan AHNS satu-satunya hospital swasta di Negeri Sembilan yang menawarkan perkhidmatan onkologi, serta hospital swasta pertama dilengkapi Varian TrueBeam Linear Accelerator, sebuah sistem terapi radiasi berketepatan tinggi.

Teknologi ini membolehkan rawatan dilakukan dengan lebih teliti melalui penyasaran tumor berdaya tinggi, di samping mengehadkan pendedahan radiasi kepada tisu sihat di sekeliling sekali gus membantu mengurangkan potensi kesan sampingan serta meningkatkan pengalaman rawatan keseluruhan pesakit.

Pelancaran pusat itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Munawir dan berangkat sama, Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

ANHS dalam kenyataan, memetik Tuanku Muhriz Munawir sebagai bertitah: “Kesihatan merupakan satu keperluan asas yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan rakyat serta kemakmuran sesebuah negeri.”

Baginda menyambut baik usaha AHNS yang terus melabur dalam pembangunan fasiliti dan memperluaskan perkhidmatan demi memenuhi keperluan kesihatan masyarakat yang semakin meningkat.

Dengan adanya kemudahan ini, pesakit boleh mendapatkan rawatan kanser canggih di kawasan setempat, sekali gus berpotensi mengurangkan keperluan untuk melakukan perjalanan lebih jauh bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan dan pembedahan onkologi, titah baginda.

Keupayaan pusat kanser itu turut diperkukuh oleh sekumpulan pakar pelbagai disiplin yang merangkumi pakar klinikal dan perubatan onkologi, pakar radiologi intervensi serta pakar radiologi diagnostik yang bekerjasama bagi menyokong pesakit sepanjang perjalanan rawatan kanser mereka.

Pengasas, Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, visi Aurelius Healthcare bukan sekadar memperluaskan infrastruktur, malah memperkukuh keupayaan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masyarakat yang sentiasa berkembang.

Beliau berkata, sejak menyertai rangkaian Aurelius, Aurelius Hospital Negeri Sembilan telah berkembang daripada 53 kepada lebih 100 doktor perunding, di samping memperluaskan tawaran klinikalnya daripada 20 kepada 37 bidang kepakaran.

“Pertumbuhan yang signifikan ini membolehkan kami menyediakan rangkaian penjagaan yang lebih luas dan menghubungkan lebih ramai pesakit dengan kepakaran perunding, bagi memastikan mereka mendapat akses kepada rawatan yang komprehensif dan berkualiti tinggi dengan lebih dekat,” katanya.

Diasaskan pada tahun 2019, Aurelius Healthcare ialah kumpulan penjagaan kesihatan berpangkalan di Malaysia, mengkhusus dalam pengurusan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, tertiari, dan kuaternari.

Dengan wawasan untuk mentakrifkan semula kecemerlangan penjagaan kesihatan, Aurelius Healthcare menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman mendalam tempatan, menyediakan penyelesaian pengurusan hospital yang disesuaikan dan bertaraf dunia untuk kemudahan penjagaan kesihatan baharu dan memodenkan hospital sedia ada.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN