Akta Perlindungan Guru bantu perkukuh profesion perguruan

Akta Perlindungan Guru bantu perkukuh profesion perguruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cadangan penggubalan Akta Perlindungan Guru merupakan satu usaha penting untuk memperkukuh profesion perguruan yang semakin mencabar.

Akta tersebut bertujuan memastikan guru mendapat perlindungan undang-undang ketika menjalankan tugas secara profesional, sekali gus membolehkan mereka mendidik dan membentuk sahsiah murid dengan lebih yakin.

Keperluan akta ini timbul berikutan peningkatan pelbagai kes yang melibatkan guru, termasuk saman, pertikaian dengan ibu bapa, dakwaan salah laku dan ancaman ketika melaksanakan tanggungjawab di sekolah.

Keadaan ini memberi tekanan kepada guru dan menjejaskan keyakinan mereka dalam mengurus disiplin murid.

Selain itu, cabaran lain yang dihadapi guru adalah ancaman daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan disiplin yang dikenakan ke atas murid. Situasi ini menyebabkan sebahagian guru berasa takut atau gentar untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Akta yang dicadangkan bukan bertujuan melindungi salah laku guru, tetapi memberi perlindungan kepada guru yang bertindak mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

Perlindungan tersebut membolehkan guru menjalankan tugas dengan lebih berkesan tanpa gangguan atau ancaman yang tidak berasas.

Selain melindungi guru, akta berkenaan juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan besar guru dalam membentuk disiplin, sahsiah dan masa depan murid.

Sokongan masyarakat amat penting bagi memastikan guru dapat melaksanakan amanah pendidikan dengan berkesan.

Pembentangan turut menjelaskan bahawa penggubalan akta perlu melalui proses perundangan yang lengkap.

Rang Undang-Undang (RUU) hendaklah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta diwartakan sebagai undang-undang.

Kesimpulannya, Akta Perlindungan Guru dilihat sebagai satu keperluan bagi menjamin kebajikan, keselamatan dan profesionalisme warga pendidik.

Dengan perlindungan undang-undang yang sewajarnya, guru akan dapat menjalankan tanggungjawab mendidik generasi masa depan dengan lebih yakin, berkesan dan berintegriti.-UTUSAN

Mohamad Zapawi Mamat
Presiden, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), merangkap Presiden, Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN