KUALA LUMPUR: Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) dan Mara Incorporated Sdn. Bhd. (Mara Inc.) bekerjasama melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di 50 stesen BHPetrol sekitar Lembah Klang.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali berkata, pemasangan solar itu mampu menjimatkan bil elektrik pengusaha sekitar 10 peratus setiap bulan.
“Sebanyak 16 buah stesen telah siap dipasang dan dijanakuasakan dengan tenaga solar setakat 1 Julai ini.
“Baki 34 stesen lagi akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran keseluruhan projek.
“Inisiatif ini adalah manifestasi komitmen BHPetrol dalam menyokong sasaran negara ke arah masa depan yang lebih mampan,” katanya pada majlis pelancaran projek tenaga boleh baharu bersama BHPetrol dan Mara Incorporated di Stesen BHP, Jalan Genting Klang 1 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Faizul Idzhar Ahmad Yazi; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mara Corp, Yahaya Sani dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali.
Katanya, projek itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui penglibatan pelajar dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Penglibatan tersebut membuka peluang kepada golongan muda untuk memperoleh pendedahan secara langsung kepada teknologi solar PV.
“Pelaksanaan projek pemasangan sistem solar PV ini dapat mengintegrasikan teknologi tenaga bersih ke dalam operasi rangkaian stesen minyak.
“Ia merupakan salah satu inisiatif yang telah dimeterai melalui majlis menandatangani memorandum yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 23 September 2024,” katanya.
Sementara itu, Faizul Idzhar berkata, sistem solar PV berkapasiti 1.4MWp itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,347 tan karbon dioksida setahun apabila siap sepenuhnya.
“Kami juga diberi tanggungjawab untuk melengkapi institusi dan kolej dengan fasiliti solar secara berperingkat yang menawarkan penjimatan kos tenaga elektrik secara tetap untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Kami kini terlibat secara langsung dalam pembangunan projek Ladang Solar Berskala Besar (LSS) berkapasiti melebihi 100 megawatt di wilayah Pantai Timur.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan menyokong agenda peralihan tenaga negara,” katanya. – UTUSAN










