PETALING JAYA: Sebanyak 43 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan dengan 75 notis dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Dadah di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.
Operasi bermula pukul 8 pagi itu dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 228 kenderaan perdagangan.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 43 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam operasi yang sama, MOTAC memeriksa 36 kenderaan pelancongan dan mengesan satu kes melibatkan kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong.
“Turut disita, sebuah bas henti-henti turut disita untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2), Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi memastikan hanya pemandu yang layak, berdisiplin serta bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan di jalan raya.
Tegasnya, JPJ memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia bukan sahaja melibatkan pelanggaran undang-undang, malah boleh mengundang risiko kemalangan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya.
“Dalam operasi itu, kita turut mengesan dua pemandu positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas 74 pemandu.
“Dua individu berusia 31 dan 41 tahun itu merupakan pemandu lori timber jinker dan kereta sewa yang didapati positif methamphetamine dan ganja.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] bagi tujuan ujian dan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, selain tindakan terhadap pemandu, syarikat pengangkutan turut dipertanggungjawabkan memastikan pemandu yang digajikan mematuhi undang-undang serta bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Kegagalan mematuhi syarat lesen atau menggaji pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.- UTUSAN










