KUALA LUMPUR: Seramai 40 kanak-kanak masih ditahan di bawah Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menjalani perintah tahanan yang ditetapkan mahkamah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kerajaan kini sedang meneliti pindaan terhadap peruntukan itu supaya lebih selaras dengan prinsip keadilan kanak-kanak dan amalan terbaik antarabangsa.
“Daripada jumlah itu, empat individu ditahan kurang daripada setahun, 14 orang antara satu hingga lima tahun, tujuh orang antara lima hingga 10 tahun, lapan orang antara 10 hingga 15 tahun, empat orang antara 15 hingga 20 tahun, manakala tiga lagi telah ditahan antara 20 hingga 25 tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap individu yang melakukan kesalahan ketika masih kanak-kanak.
Katanya lagi, mahkamah akan memerintahkan mereka ditahan di penjara selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri mengikut negeri kesalahan dilakukan.
“Kerajaan Madani mengambil serius isu berkenaan, khususnya kerana peruntukan sedia ada tidak menetapkan tempoh tahanan yang jelas, selain mengambil kira perubahan undang-undang susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat pada 2023.
“Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Khas Kajian dan Pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 telah ditubuhkan bagi mengkaji penambahbaikan terhadap peruntukan tersebut. Jawatankuasa itu dianggotai wakil kementerian dan agensi kerajaan, badan profesional, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) serta UNICEF,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan sedang meneliti perbincangan dasar berhubung cadangan pindaan kepada seksyen 97 Akta 611, termasuk meneliti isu-isu seperti penetapan tempoh tahanan yang lebih jelas, mekanisme semakan tahunan, serta pendekatan yang lebih
berteraskan pemulihan dan integrasi semula kanak-kanak ke dalam masyarakat.
“Kerajaan Madani komited untuk memastikan sebarang cadangan pindaan yang dikemukakan kelak dapat mewujudkan keseimbangan antara kepentingan keadilan, keselamatan awam dan kebajikan kanak-kanak, selaras dengan kewajipan hak asasi manusia yang telah diterima pakai oleh Malaysia,” katanya. – UTUSAN










