KUALA LUMPUR: Pengorbanan ibu bapa yang sanggup merentasi lebih 8,000 kilometer ke Moscow, Rusia bagi menyaksikan anak-anak mereka menerima ijazah menjadi pelengkap kepada kejayaan 40 pelajar Malaysia tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Penerbangan.
Kesemua graduan tersebut berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Penerbangan, di Moscow Aviation Institute (MAI) selepas mengharungi empat tahun pengajian yang mencabar di negara berkenaan.
Mereka merupakan penerima tajaan Mara menerusi Young Talent Development Programme (YTP), iaitu program pembangunan modal insan yang diwujudkan bagi melahirkan bakat muda berpotensi tinggi dalam bidang strategik dan berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan negara.
Lebih membanggakan, kejayaan itu diraikan dengan kehadiran kira-kira 38 keluarga dari Malaysia yang membuat perancangan awal serta berkorban dari segi kewangan semata-mata untuk menyaksikan sendiri detik bersejarah anak-anak mereka menerima ijazah pada majlis graduasi yang berlangsung pada 23 Julai lalu.
Menurut salah seorang wakil ibu bapa, Norizal Razali, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi simbol kejayaan akademik, malah mencerminkan pengorbanan, kasih sayang serta sokongan tidak berbelah bahagi ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak di perantauan.
“Walaupun berasal dari pelbagai negeri dan latar belakang, kami disatukan oleh satu matlamat iaitu meraikan kejayaan anak-anak yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang berteknologi tinggi di luar negara.
“Sepanjang empat tahun berada di Rusia, para pelajar bukan sahaja perlu menguasai ilmu Kejuruteraan Penerbangan, malah berdepan pelbagai cabaran termasuk menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem, bahasa, budaya serta sistem pembelajaran yang berbeza,” katanya.
Usai majlis graduasi, para graduan bersama ahli keluarga mengambil peluang berkumpul merakam gambar kenangan sebagai lambang perpaduan dan kebanggaan rakyat Malaysia di bumi asing.
Kejayaan itu membuktikan kemampuan anak-anak Malaysia untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa apabila diberikan peluang serta sokongan yang sewajarnya.
Di sebalik kejayaan setiap graduan, terserlah peranan besar ibu bapa yang sentiasa menjadi sumber kekuatan menerusi doa, dorongan serta sokongan moral sepanjang tempoh pengajian di luar negara.
Pada masa sama, kejayaan tersebut turut mencerminkan keberkesanan Program YTP Mara dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan industri aeroangkasa, penerbangan dan teknologi negara.
Usaha berterusan itu selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh pembangunan modal insan bertaraf global serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor berteknologi tinggi. – UTUSAN









