KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 pemohon masih berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap perumahan mampu milik di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, semua permohonan akan diproses mengikut syarat dan keutamaan yang ditetapkan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Menurut beliau, beberapa kriteria turut dipertimbangkan termasuk anggota polis dan bomba yang ditempatkan berhampiran komuniti, selain kes-kes khas seperti keluarga yang kehilangan pencari nafkah atau mempunyai tanggungan ramai.
“Senarai menunggu memang panjang. Semua permohonan diproses mengikut kriteria yang ditetapkan dan tertumpu kepada golongan B40 yang benar-benar memerlukan.
“Terdapat juga lot yang kita peruntukkan untuk anggota bomba dan polis kerana kami mahu pasukan ini wujud dalam komuniti untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR dan Premis Pusat Penjaja di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini hari ini.
Pada majlis sama, DBKL menyerahkan surat tawaran PPR kepada 29 penerima baharu, terdiri daripada 15 penerima Melayu dan 14 penerima India, selain surat tawaran pengisian premis pusat penjaja kepada 40 peniaga tempatan di lapan kawasan Parlimen Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM2.59 juta bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf PPR Seri Pantai sebagai sebahagian daripada peruntukan RM300 juta yang diluluskan Kerajaan MADANI untuk menaik taraf PPR di seluruh Kuala Lumpur.
Katanya, kerja naik taraf itu telah siap dilaksanakan melibatkan pelbagai kemudahan asas yang digunakan penduduk setiap hari, termasuk lif, jalan, sistem pencahayaan, pam air dan sistem pencegahan kebakaran.
“Peruntukan ini adalah untuk memastikan penduduk menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat. Kita melaksanakan projek mengikut keperluan setiap PPR, bukannya mengikut kawasan atau Parlimen tertentu.
“Semua perbelanjaan juga dipaparkan secara telus supaya penduduk dapat melihat sendiri bagaimana wang rakyat dibelanjakan bagi meningkatkan kemudahan di kawasan mereka,” katanya.
Daripada jumlah RM2.59 juta itu, sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan lif, diikuti penurapan jalan (RM421,000), penambahbaikan sistem pencahayaan (RM300,000), sistem pam air (RM220,430), taman permainan kanak-kanak (RM25,000) dan sistem pencegahan kebakaran (RM20,870).
Hannah turut menegaskan usaha kerajaan menangani kemiskinan bandar tidak membezakan kaum, sebaliknya berasaskan keperluan rakyat.
“Dalam membantu golongan miskin bandar, kita tidak melihat sama ada Melayu, Cina, India atau kaum lain. Yang penting ialah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, PPR Seri Pantai merupakan antara 25 projek naik taraf yang telah dilaksanakan daripada keseluruhan 64 PPR dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.
“Mengikut perancangan, sehingga hujung tahun ini semua 64 PPR dan PA akan dinaik taraf, khususnya melibatkan pembaikan jalan, sistem perparitan, lif dan pencahayaan demi keselesaan penduduk.
“Bagi agihan lokasi perniagaan hari ini, seramai 21 penerima adalah Melayu, 15 Cina dan empat India. Kami sentiasa membuat penawaran mengikut permohonan yang diterima serta giliran pemohon tanpa mengira kaum,” katanya.-UTUSAN










