ALOR GAJAH: Sebanyak 12 tan metrik durian premium jenis Musang King dan Black Thorn (Duri Hitam) bakal menjadi tarikan utama Festival Kendurian yang julung kali dianjurkan kerajaan negeri pada Ahad ini.
Acara yang akan diadakan di Duta Riang Villa, Selandar itu dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung untuk menikmati durian premium pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjuran festival itu merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati durian premium yang lazimnya dijual pada harga tinggi.
Menurutnya, rakyat Melaka hanya dikenakan bayaran RM25 seorang, manakala pengunjung dari luar negeri RM50 seorang bagi menikmati bufet durian tanpa had selama 20 minit mengikut slot yang ditetapkan.
“Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah pula diberikan kemasukan percuma, sekali gus memberi peluang kepada seluruh keluarga menikmati festival berkenaan.
“Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan Festival Kendurian supaya rakyat dapat menikmati Musang King dan Black Thorn pada harga yang sangat berpatutan.
“Kita bukan menyediakan durian kampung atau durian biasa seperti kebanyakan bufet durian yang dianjurkan sebelum ini, sebaliknya hanya menawarkan dua jenis durian premium iaitu Musang King dan Black Thorn,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak sempena Festival Kendurian di Duta Riang Villa, Selandar, di sini semalam.
Beliau berkata, festival itu akan berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 4.00 petang dengan slot kemasukan pada setiap jam bagi memastikan keselesaan pengunjung serta kelancaran pengurusan bekalan durian.
“Bagi rakyat Melaka yang ingin menikmati harga istimewa RM25, mereka perlu mengemukakan kad pengenalan sebagai bukti bermastautin di negeri ini,” katanya. – UTUSAN









