XPENG New X9 ditawar pada harga bermula RM279,888

XPENG New X9 ditawar pada harga bermula RM279,888

XPENG New X9
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermaz Xpeng Sdn. Bhd. memperkenalkan model MPV elektrik premium tujuh tempat duduk terbaharunya, XPENG New X9 yang dihadirkan dengan tiga varian dengan ditawarkan pada harga bermula RM279,888 seunit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Datuk Seri Francis Lee berkata, pengenalan X9 sejajar dengan aspirasi XPENG untuk memperluaskan akses kepada teknologi mobiliti masa depan menerusi integrasi kecerdasan buatan (AI), penyelesaian tenaga dan teknologi automotif pintar.

“Perkembangan ini turut menyokong usaha syarikat untuk memperkukuh ekosistem automotif negara, termasuk perancangan melaksanakan operasi pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti EPMB di Melaka pada masa hadapan.

“Langkah ini dijangka meningkatkan keupayaan industri tempatan dan membantu mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang lebih meluas,” katanya semasa Majlis Pelancaran XPENG New X9 di sini.

Bagi varian pacuan roda hadapan (FWD) Standard Range ditawarkan pada harga jualan bermula RM279,888, varian FWD Long Range (RM297,888) dan varian tertinggi AWD Performance (RM333,888).

Semua harga yang dinyatakan merupakan harga jualan kenderaan bagi Semenanjung Malaysia.

XPENG New X9 mengekalkan identiti reka bentuk futuristik yang menjadi ciri utama model tersebut, termasuk reka bentuk hadapan “Robot Face”, lampu siang LED melintang dan siluet aerodinamik.

Antara penambahbaikan yang diperkenalkan ialah pintu hadapan jenis “soft-close” berkuasa, sekali gus meningkatkan kemudahan dan keselesaan penggunaan harian.

Beliau berkata, dari aspek prestasi, X9 dibangunkan berasaskan platform voltan tinggi 800V silikon karbida (SiC) yang menyokong teknologi pengecasan pantas 5C Supercharge.

“Varian Standard Range menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 94.8 kilowatt-jam (kWh) dengan jarak perjalanan sehingga 535 kilometer bagi satu cas penuh.

“Varian Long Range dan AWD Performance pula dilengkapi bateri Nickel Cobalt Manganese (NCM) berkapasiti 110 kWh yang menawarkan jarak perjalanan masing-masing sehingga 615 kilometer dan 580 kilometer.

“Ketiga-tiga varian menyokong pengecasan pantas daripada 10 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh kira-kira 12 minit,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Francis berkata, model baharu itu turut menggunakan cip pemproses XPENG Turing AI yang mampu memproses sehingga 750 trilion operasi sesaat (TOPS).

“Teknologi tersebut menyokong fungsi bantuan pemanduan XPILOT Assist melalui integrasi radar, kamera dan sensor ultrasonik bagi meningkatkan ketepatan pengesanan objek serta keupayaan membuat keputusan secara masa nyata.

“Antara fungsi yang ditawarkan termasuk kawalan pelayaran adaptif, bantuan pengekalan lorong, bantuan pertukaran lorong dan pengurusan kelajuan pintar,” ujarnya.

XPENG New X9 yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Hitam Tengah Malam (Midnight Black), Putih Artik (Arctic White), Kelabu Matte (Matte Gray), Sian Bercahaya (Lambent Cyan) dan Ungu Polar (Polar Violet).

Pelanggan turut menikmati jaminan pengeluar selama lima tahun atau 120,000 kilometer, selain pakej servis dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 kilometer.

Bagi sistem bateri voltan tinggi, syarikat menyediakan jaminan selama lapan tahun atau sehingga 160,000 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN