BRASILIA: Hasrat seorang wanita untuk merasai debaran sukan ekstrem bertukar tragedi ngeri apabila dia terjatuh dari ketinggian lebih 40 meter selepas kakitangan bertugas ‘terlupa’ untuk memasang tali keselamatan pada badannya sebelum mencampaknya dari sebuah jambatan.
Beberapa rakaman video dari sudut berbeza menunjukkan mangsa yang berusia 21 tahun dibawa dengan tenang oleh dua pekerja sebelum dilemparkan dari tepi Jambatan Skeleton yang terletak di Limeira, dalam negeri Sao Paulo, Brazil, baru-baru ini.
Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka menyedari bahawa tali keselamatan sebenarnya masih belum dipasang pada badan mangsa.
Lebih memilukan, mangsa yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Maria Eduarda Rodrigues de Freitas, sempat memuat naik beberapa keping gambar gelang tangan sukan terjunan itu berserta imej jambatan berkenaan menerusi media sosialnya, hanya beberapa saat sebelum kejadian berlaku.
“Siapakah orang gila yang membenarkan saya datang dan melompat dari jambatan ini?” tulisnya pada kapsyen sekeping gambar yang menyentuh hati di Instagram miliknya.
Video yang dirakam di lokasi kejadian menunjukkan wanita muda itu dibawa ke tepi jambatan oleh kakitangan bertugas sebelum dicampak ke dalam gaung.
Saksi yang berada di tempat kejadian mula kedengaran menjerit dengan penuh cemas beberapa saat selepas mangsa dilepaskan.
Pasukan perkhidmatan kecemasan segera dikejarkan ke lokasi, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pihak berkuasa telah mengeluarkan mayat mangsa sebelum dipindahkan ke Institut Perubatan Perundangan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, polismenyatakan bahawa mereka akan menyiasat kes tersebut bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pertuduhan jenayah yang boleh dikenakan.
Susulan insiden berkenaan, enam individu telah ditahan di lokasi kejadian. – AGENSI










