KUALA LUMPUR: Pelakon, Wafariena, pasrah apabila isu tunggakan bayaran melibatkan sebuah klinik estetik di Ampang setahun lalu masih belum menemui jalan penyelesaian.
Wafariena atau Wafariena Roslan, 31, berkata pihak klinik berkenaan bukan sahaja gagal melunaskan bayaran berjumlah RM10,000, malah terus berdiam diri tanpa sebarang usaha menghubunginya.
“Mereka masih tidak bayar lagi. Masih sama senyap. Malah, tiada pun pihak mereka menghubungi saya untuk selesaikan perkara ini di luar mahkamah atau berbincang secara baik.
“Sudah setahun lebih isu ini senyap begitu saja. Kalau tanya saya tidak marahkah? Bagi saya, marah buat apa? Duit kita, kalau tak bayar juga, tak halal sajalah. Itu saja yang boleh saya katakan,” katanya.
Wafa ditemui di majlis pelancaran filem The Real Mamu, di sebuah hotel ibu kota, baru-baru ini,
Sebelum ini, isu membabitkan tunggakkan bayaran sebuah klinik yang didakwa menggunakan wajah Wafariena untuk tujuan promosi walaupun kontrak kerjasama sudah tamat.
Lebih mengecewakan, pelakon itu mendakwa panggilan telefonnya telah disekat oleh pihak klinik selepas dia cuba berbincang mengenai bayaran.
Walaupun dihimpit kontroversi tuntutan bayaran itu, pelakon yang mula dikenali menerusi watak Nurul dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini menyifatkan kerjaya seninya masih berada pada tahap yang stabil.
Jelasnya, dia kini lebih fokus untuk mengimbangi kerjaya lakonan dengan perancangan untuk menceburi bidang perniagaan tidak lama lagi.
“Wafa rasa kerjaya sekarang dalam keadaan ‘maintain’. Biasalah, dalam industri ada masanya kita di atas dan ada masanya di bawah. Sebab itu Wafa nak seimbangkan dengan perniagaan nanti.
“Kalau bisnes itu sudah berjalan, mungkin Wafa akan kurangkan sedikit aktiviti lakonan, tapi takkan berhenti. Sekurang-kurangnya sebulan kena ada satu kerja untuk kekalkan nama,” ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan peribadi terutamanya soal mendirikan rumah tangga, Wafariena secara berseloroh memberitahu fokusnya kini hanyalah pada kerjaya.
“Kahwin itu lambat lagi. Cincin pun tak ada di jari ni. Tak kahwin lagi, tak tahu bila,” katanya. -UTUSAN










