KUALA LUMPUR: Penggunaan rokok elektronik atau vape perlu diharamkan sepenuhnya susulan penyalahgunaannya sebagai medium pengedaran dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penggunaan vape kini sudah tersasar dan disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, dadah yang mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif, mampu memberikan kesan khayal melampau sehingga menjadikan penggunanya berada dalam keadaan seakan-akan ‘zombie’.
”Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu merupakan satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi alat itu disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan bersama dadah baharu atau New Psychoactive Substances (NPS).
”Vape kini sudah menjadi satu kebanggaan kepada golongan remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini daripada awal.
“Banyak negara luar telah pun mengharamkannya. Oleh itu, Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik untuk membanterasnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Ayob berkata, PDRM bagaimanapun tidak mempunyai kuasa mutlak untuk terus mengharamkan penggunaan peranti berkenaan kerana ia turut melibatkan bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi berskala besar secara berterusan, termasuk ke atas premis jualan vape bagi menyekat penularan dadah terbaharu berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob menegaskan, PDRM khususnya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman tidak akan berkompromi dengan anggota dan pegawai mereka yang bersekongkol dengan sindiket dadah.
Katanya, pelbagai tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib dan buang kerja telah diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati terbabit dalam penyalahgunaan atau penagihan dadah.
“Kita sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala melalui JIPS serta jabatan berkaitan dengan mengambil sampel urin semua pegawai dan anggota polis.
“Sebelum ini, tidak dinafikan kita juga pernah tahan pegawai kanan polis yang juga merupakan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah negeri di Pantai Timur kerana terlibat dadah. Tindakan sudah pun diambil,” katanya. – UTUSAN










