PETALING JAYA: Kumpulan Johor Corporation (JCorp) mencatatkan prestasi kewangan luar biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 apabila keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak lebih dua kali ganda kepada RM703 juta berbanding RM335 juta pada tahun sebelumnya.
Lonjakan ketara itu sekali gus meletakkan tahun kewangan 2025 sebagai antara pencapaian terbaik kumpulan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hasil pemulihan pasaran dan kecekapan operasi yang optimum.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut melonjak 45 peratus kepada RM1.04 bilion daripada RM718 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Pada masa sama, perolehan kumpulan meningkat 10 peratus kepada RM7.63 bilion berbanding RM6.96 bilion pada tahun kewangan 2024, hasil prestasi kukuh sektor Kesejahteraan dan Kesihatan serta Agribisnes, selain sumbangan lebih besar daripada syarikat-syarikat dalam portfolio kumpulan.
Prestasi memberangsangkan itu turut disokong oleh pengurusan kos yang lebih berdisiplin, peningkatan kecekapan operasi dan strategi pengoptimuman portfolio yang dilaksanakan sepanjang tahun.
Sehingga 31 Disember 2025, aset bersih JCorp meningkat kepada RM12.21 bilion daripada RM11.76 bilion pada tahun sebelumnya, manakala tunai dan setara tunai bertambah kepada RM2.77 bilion, mencerminkan kedudukan kewangan yang semakin kukuh.
Pemulihan operasi QSR Brands yang kembali mencatat keuntungan serta prestasi mantap KPJ Healthcare dan Kulim turut menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan kumpulan.
Pengerusi JCorp yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lonjakan keuntungan bersih itu membuktikan keberkesanan strategi transformasi dan pengukuhan portfolio yang dilaksanakan oleh kumpulan.
“Prestasi ini mencerminkan asas perniagaan yang kukuh, tadbir urus yang baik serta keupayaan JCorp memanfaatkan peluang pertumbuhan yang semakin berkembang di Johor,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pencapaian tahun kewangan 2025 bukan sekadar peningkatan angka kewangan, malah menunjukkan kemajuan berterusan dalam memperkukuh kualiti portfolio dan daya tahan organisasi.
Katanya, peningkatan keuntungan bersih yang ketara itu memberi ruang kepada JCorp untuk terus melabur dalam sektor-sektor strategik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi Johor pada masa hadapan.
“Dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) menghampiri RM30 bilion, JCorp berada pada kedudukan yang kukuh untuk terus memperluaskan pengaruhnya sebagai institusi pembangunan strategik negeri serta pencipta nilai jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi Johor,” katanya.
Menurutnya, tahun kewangan 2025 adalah cerminan evolusi JCorp selaku institusi yang memiliki kedudukan penyata kewangan yang lebih kukuh, portfolio lebih berdaya tahan dan kapasiti lebih besar untuk merebut peluang yang mencipta nilai jangka panjang.
“Dengan Pelan Penciptaan Semula JCorp 3.0 yang kini membuahkan hasil, Kumpulan sedang melangkah ke fasa transformasi seterusnya.
“JCorp berhasrat menjadi sebuah organisasi berteraskan AI (AI-First) dan pelaburan berimpak, bagi membolehkan institusi terus memanfaatkan peluang baharu serta menyampaikan nilai lestari jangka panjang kepada Johor dan rakyatnya.
“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peruntukan modal yang berdisiplin, kecemerlangan operasi dan pembangunan keupayaan organisasi, sambil memanfaatkan teknologi, inovasi serta kerjasama strategik untuk meningkatkan daya saing,” katanya.
Melangkah ke hadapan, JCorp kekal komited untuk memperkukuhkan portfolio, membina keupayaan organisasi dan menyampaikan nilai lestari kepada pemegang taruh sambil menyumbang kepada pertumbuhan serta daya saing Johor yang berterusan.
“Ketika mana Johor terus mengukuhkan kedudukan selaku destinasi pelaburan utama dan koridor inovasi serantau, keutamaan JCorp ialah memastikan perniagaannya kekal berdaya saing, relevan dan bersedia untuk merebut peluang baharu khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan, agribisnes, hartanah, infrastruktur serta pengguna,” katanya. –UTUSAN










