PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini diseru kembali ‘merapatkan saf’ dan memadam segala bara api permusuhan yang wujud antara satu sama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, umat Islam juga perlu menumpukan kepada titik-titik yang boleh menjayakan kesepaduan.
“Menginsafi takdir kepelbagaian yang melatari demografi negara kita, suka atau tidak, Malaysia ialah sebuah negara majmuk,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/ 2026 di Masjid Putra, hari ini.
Dr Zulkifli berkata, Sahifah Madinah yang digagaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W selepas peristiwa Hijrah adalah contoh agung bagi pembinaan sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kabilah dan agama.
Menurutnya, menurut Sahifah Madinah itu, masyarakat di zaman itu dihimpun dalam satu kesatuan yang berteraskan keadilan, tanggungjawab bersama dan kesetiaan kepada negara.
“Dalam konteks Malaysia, semangat ini diistilahkan sebagai kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-wihdah fi itar al-tanawwu’ atau unity in diversity) yang memandu dan memacu hubungan antara kaum dan agama,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, perpecahan dan keretakan hubungan hanya akan mengundang bencana.
“Situasi negara kini tidak terkecuali daripada menerima impak akibat krisis tenaga global dunia menuntut kesatuan hati rakyat demi mendepani cabaran akan datang.
Dalam masa yang sama, katanya, beliau menyeru rakyat untuk terus memberi dukungan dan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha mengangkat martabat umat Islam. – UTUSAN










