INGLEWOOD: Turkiye tidak meninggalkan Piala Dunia 2026 dengan tangan kosong apabila berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (AS) menerusi jaringan dramatik Kaan Ayhan pada saat-saat akhir dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Los Angeles, hari ini.
Walaupun sudah tersingkir daripada saingan, Turkiye mempamerkan semangat juang tinggi untuk menghadiahkan kemenangan pertama mereka dalam kejohanan itu, sekali gus mengubat sedikit duka selepas gagal mara ke pusingan kalah mati.
Kekalahan di alami AS bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan mereka yang lebih awal mengesahkan status juara kumpulan serta tiket ke pusingan 32 terbaik.
Skuad tuan rumah bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit ketiga menerusi tandukan Auston Trusty, bagi meneruskan rekod menjaringkan gol awal dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Namun, Turkiye bangkit menyamakan kedudukan menerusi Arda Guler, sebelum Baris Yilmaz meletakkan pasukannya di depan sebelum tamat babak pertama untuk kedudukan 2-1.
AS kembali menyamakan kedudukan selepas rehat apabila Sebastian Berhalter melepaskan rembatan jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol Turkiye, Ugurcan Cakir.
Ketika perlawanan dilihat berakhir dengan keputusan seri, pemain gantian Kaan Ayhan muncul wira pasukan apabila menyempurnakan peluang pada penghujung aksi untuk memastikan tiga mata menjadi milik Turkiye.
Kapten Turkiye, Hakan Calhanoglu, menyifatkan kemenangan itu sebagai ganjaran kepada usaha dan semangat juang pasukan meskipun gagal mencapai sasaran untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Kami kecewa kerana tidak dapat meneruskan perjalanan dalam kejohanan ini, tetapi sekurang-kurangnya kami menamatkan kempen dengan kemenangan.
“Para pemain menunjukkan karakter yang kuat dan saya bangga dengan semangat yang dipamerkan sehingga wisel penamat,” katanya.
Sementara itu, kapten AS, Tyler Adams mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik, namun menegaskan fokus kini terarah sepenuhnya kepada aksi pusingan 32 terbaik.
“Kami sudah mencapai objektif utama iaitu menjuarai kumpulan. Sudah tentu kami mahu menang, tetapi kini tumpuan kami adalah memastikan pasukan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan kalah mati yang lebih mencabar,” ujarnya.
AS akan meneruskan cabaran menentang Bosnia dan Herzegovina di Santa Clara pada Rabu depan, manakala Turkiye pulang dengan sekurang-kurangnya membawa bersama kenangan manis hasil kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia 2026.-AGENSI










