KUALA LUMPUR: Titah Sultan Pahang yang bertegas kedaulatan negara perlu dipelihara sewajarnya dijadikan panduan dalam menangani isu pendatang haram serta komuniti Rohingya di Malaysia.
Pengerusi Malaysia Community Crime Care (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, dalam hal sebegini, baginda sentiasa menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap hal ehwal negara dan perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa serta kementerian berkaitan.
Katanya, tindakan lebih tegas dan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menangani isu pendatang haram, termasuk melibatkan komuniti Rohingya, demi melindungi keselamatan serta imej negara.
“Kita mesti melindungi negara dan menjaga imej Malaysia kerana sektor pelancongan merupakan antara nadi penting kepada ekonomi negara.
“Kalau kita sendiri tidak menjaga imej dan suasana negara, pelancong mungkin datang sekali sahaja. Jika mereka melihat keadaan yang tidak aman dan kurang teratur, mereka mungkin tidak akan kembali lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, rakyat Malaysia selama ini terkenal sebagai masyarakat yang prihatin dan bertimbang rasa, namun semangat kemanusiaan tidak boleh disalah tafsir sehingga mengabaikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tempatan.
Malah jelasnya lagi, keutamaan kerajaan ketika ini seharusnya diberikan kepada rakyat daripada pelbagai kaum yang masih berdepan cabaran kos sara hidup serta kesukaran mencari sumber pendapatan.
“Masih ramai rakyat yang hidup dalam keadaan susah dan sedang berusaha untuk meneruskan kehidupan. Keutamaan perlu diberikan kepada rakyat sendiri sebelum kita memikul beban yang akhirnya boleh menjejaskan negara,” katanya.
Pada masa sama, Daniel turut berkata, Malaysia perlu mula memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai golongan profesional dan tenaga kerja berkemahiran tinggi dari luar negara yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing negara.
“Kita perlu fokus untuk membawa masuk golongan profesional yang boleh membantu membangunkan negara, berkongsi kepakaran dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan atas dasar perikemanusiaan semata-mata sehingga akhirnya membawa mudarat kepada negara sendiri,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai kewujudan segelintir warga asing yang didakwa menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan berharap tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan.
Tambahnya, mana-mana pelarian yang tidak dapat ditempatkan secara kekal di Malaysia perlu dipindahkan ke negara ketiga yang bersedia menerima mereka melalui saluran dan mekanisme antarabangsa yang sewajarnya.
“Kita perlu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan kepentingan negara. Keamanan, keselamatan dan kestabilan Malaysia mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.-UTUSAN










