Tidak sanggup tengok diri sendiri jadi penyondol - Mawar Rashid - Utusan Malaysia

Tidak sanggup tengok diri sendiri jadi penyondol – Mawar Rashid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: “Saya sendiri rasa tidak sanggup tengok diri sendiri jadi penyondol.”

Demikian kata pelakon, Mawar Rashid mengakui sangat mencabar untuk menjayakan watak sebagai wanita perampas atau penyondol menerusi drama Ikatan Terlarang.

Memegang watak sebagai Anabella, Mawar juga mengakui dirinya berasa kekok untuk menjayakan adegan intim berlebihan dengan hero gandingannya, Hisyam Hamid kerana luar dari zon selesanya.

“Menjayakan watak penyondol ini memang sangat mencabar. Malah episod baharu pun saya belum tonton lagi sebab masih belum cukup berani untuk menonton. Saya perlu kumpul semangat dulu.

“Untuk menjayakan babak-babak intim itu sejujurnya sangat kekok. Saya sendiri berfikir-fikir bagaimana mahu menonton semula babak-babak itu ketika menjalani penggambaran.

“Syukur sebab abang Reza selaku pengarah sangat membantu. Dia banyak beri tunjuk ajar tentang ekspresi wajah dan emosi yang perlu ditonjolkan. Abang Hisyam pun banyak memberi sokongan sepanjang penggambaran,” katanya.

Mawar berkata demikian ketika ditemui pada program MeleTOP yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Sedar watak Anabella menerima pelbagai kecaman, Mawar mengakui tidak terkesan, sebaliknya menyifatkan lakonannya berjaya memberi impak kepada penonton.

“Bagi saya, kalau orang kecam itu bermaksud watak yang dilakonkan menjadi. Ramai juga yang pesan supaya jangan baca komen sebab takut mental tidak kuat.

“Tapi bagi saya, bila orang betul-betul benci dengan watak itu, saya rasa gembira sebab itu menunjukkan lakonan saya sampai kepada penonton. Saya juga ada terima mesej kecaman. Itu kali pertama sepanjang saya berlakon, saya menerima mesej berbaur makian daripada netizen.

“Mereka gunakan kata-kata kasar, panggil saya ‘penyondol’ dan macam-macam lagi. Tetapi saya faham mereka marah kepada watak yang saya bawa, bukan kepada diri saya yang sebenar,” ujarnya.

Selain Mawar dan Hisyam, drama itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Erysha Emyra, Raja Azura, Adriana Adnan, Arash Mohamad, Alif Hadi dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN