IPOH: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian seorang pelajar lelaki dipercayai terjatuh dari bangunan dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Taman Rapat Setia Baru, di sini minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai naik seorang diri ke bahagian atas tangki air sebelum terjatuh ke tingkat tiga di tepi tangga aras yang sama.
“Setakat hari ini, keterangan daripada rakan mangsa menyatakan mangsa seorang diri naik ke bahagian atas (tangki air) dan dengan cuai telah terjatuh ke bawah tingkat tiga (aras yang sama) di bahagian tepi tangga.
“Tiada unsur-unsur jenayah dikesan dalam kejadian ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya telah merakam keterangan lima saksi membabitkan rakan mangsa dan guru di sekolah berkenaan untuk membantu siasatan.
Katanya, setakat ini, kes diklasifikasi sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) untuk tindakan lanjut pihak sekolah.
“Mengenai keadaan mangsa, pelajar itu telah sedarkan diri dan dipindahkan oleh keluarganya ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Pada 22 Jun lalu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat kecederaan parah selepas terjatuh dari bangunan dalam kawasan sebuah sekolah di sini.
Maklumat kejadian itu diterima pada pukul 2.49 petang sebelum sepasukan anggota polis dan petugas perubatan digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan menjalankan siasatan awal. – UTUSAN










