KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan Isnin lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah untuk memastikan segala pelaksanaan dasar dan tanggung jawab pentadbiran berjalan dengan baik.
Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membawa kepada pilihan raya seperti di Johor adalah keputusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Itu keputusan mereka (pentadbiran kerajaan negeri).
“Kami (Kerajaan Persekutuan) ada ke utamaan sendiri dan fokus ke pada tugas kami,” katanya.
Isnin lalu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ia diumumkan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kuat kuasa pembubaran.
Anwar ditemui selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Perdana Menteri berkata, krisis tenaga global yang berterusan serta peningkatan permintaan tenaga akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI) menuntut Malaysia dan ASEAN mempercepatkan integrasi tenaga serantau menerusi Grid Tenaga ASEAN (APG).
Katanya, langkah itu penting bagi menjamin bekalan tenaga yang selamat, mampan dan mampu milik.
Beliau berkata, usaha mempercepatkan peralihan tenaga memerlukan bukan sahaja inovasi teknologi, malah pelaburan, dasar yang kukuh serta kerjasama serantau.
Tambahnya, sistem tenaga dunia kini sedang dibentuk semula oleh faktor geopolitik dan teknologi, dengan satu keadaan menjejaskan bekalan tenaga manakala satu lagi meningkatkan permintaannya.
“Kecerdasan buatan sedang mentransformasikan ekonomi, industri dan masyarakat dengan pantas.
“Namun, transformasi ini membawa implikasi besar terhadap penggunaan tenaga.
“Pada masa sama, AI juga mewakili peluang untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga.
“Daripada meningkatkan kecekapan grid, meramal penjanaan tenaga boleh diperbaharui hingga mengoptimumkan penggunaan tenaga industri, AI mempunyai potensi besar untuk mengukuhkan sistem tenaga,” katanya.
Anwar berkata, ketika negara-negara berlumba membangunkan ekonomi digital dan memanfaatkan pertumbuhan berasaskan AI, cabaran yang dihadapi bukan sekadar menghasilkan lebih banyak tenaga, tetapi memastikan tenaga itu kekal selamat, mampu milik dan mampan.
“Saya menekankan soal mampu milik kerana apa jua keputusan yang mengagumkan dikemukakan TNB, saya tetap akan melihat kepada harga yang perlu dibayar pengguna. Bagaimana mereka mampu bertahan dalam peralihan teknologi baharu dan AI yang semakin canggih ini.
“Saya pernah menyampaikan perkara ini kepada kakitangan TNB. Saya berkata, sudah tentu kami kagum dengan prestasinya, tetapi kami akan gagal dalam tugas jika tidak memastikan kejayaan itu dikongsi bukan sahaja oleh kakitangan di semua peringkat, malah oleh pengguna, khususnya golongan miskin dan terpinggir,” katanya. – UTUSAN










