NARATHIWAT (THAILAND): Tentera Thailand dan Malaysia memperhebat operasi keselamatan di sepanjang sempadan Narathiwat-Kelantan menerusi rondaan bersama bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pelbagai aktiviti haram rentas sempadan yang terus menjadi ancaman kepada kedua-dua negara.
Menerusi Gabungan Rondaan Sempadan Bersama (CFBP) ke-45, lebih 50 pegawai dan anggota Tentera Diraja Thailand (RTA) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk memantau kawasan hutan, bukit-bukau dan laluan semula jadi yang dikenal pasti sering digunakan penyeludup.
Rondaan yang bermula dari 2 Jun lalu hingga 15 Jun itu meliputi kawasan sepanjang kira-kira 22.5 kilometer di Daerah Sukhirin dan Waeng di Wilayah Narathiwat yang bersempadan dengan Jeli dan Tanah Merah, Kelantan.
Jurucakap Pusat Komando Operasi Suriyothai berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada penyepaduan kerjasama keselamatan antara kedua-dua buah negara bagi memintas dan mencegah semua bentuk aktiviti haram di sepanjang sempadan.
“Misi bersama ini memberi tumpuan kepada penyepaduan kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara untuk memintas dan mencegah semua bentuk aktiviti haram di sepanjang sempadan.
“Ia juga bertujuan memperkukuh hubungan baik antara RTA dan ATM bagi bersama-sama mewujudkan keamanan dan keselamatan untuk rakyat di kawasan kedua-dua negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut jurucakap itu, ancaman keselamatan bukan konvensional yang semakin kompleks memerlukan kerjasama lebih erat antara pasukan keselamatan kedua-dua negara.
Katanya, selain rondaan sempadan, kerjasama antara Tentera Darat Diraja Thailand dan Tentera Darat Malaysia turut melibatkan pertukaran maklumat keselamatan, kawalan dadah, kerjasama sempadan dan pelbagai aktiviti dua hala lain.
“CFBP adalah misi keselamatan negara yang penting dan mengukuhkan lagi hubungan antara Thailand dan Malaysia melalui kerjasama ketenteraan dan misi bersama,” ujarnya. – UTUSAN










