Teknologi perubatan AI,robotik masih perlu latihan pakar profesional

Teknologi perubatan AI,robotik masih perlu latihan pakar profesional

HANAFIAH Harunarashid (sembilan dari kanan) bersama syarikat-syarikat teknologi perubatan yang terlibat dengan pameran di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan teknologi perubatan moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik perlu disertai latihan profesional serta pematuhan piawaian keselamatan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati pesakit tanpa risiko penyalahgunaan.

Master Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Prof. Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid berkata, kemajuan teknologi kesihatan ketika ini sememangnya mampu membantu meningkatkan kualiti rawatan dan ketepatan diagnosis, namun aspek keselamatan pesakit perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Katanya, teknologi yang canggih tidak akan memberi manfaat sekiranya ia tidak digunakan oleh individu yang mempunyai latihan dan kepakaran yang mencukupi.

“Dalam dunia perubatan hari ini, teknologi terkini memainkan peranan yang sangat besar. Kita melihat banyak teknologi berimpak tinggi yang dapat membantu doktor membuat diagnosis dengan lebih pantas dan tepat.

“Namun, alat yang baik tidak akan memberi manfaat jika tidak digunakan dengan cara yang betul. Sebab itu latihan kepada doktor dan pakar amat penting bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa terpelihara,” katanya selepas menghadiri Advanced Medical Technology Showcase 2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau, penggunaan AI kini semakin meluas dalam sektor kesihatan termasuk membantu doktor menilai imej perubatan seperti imbasan CT dan MRI bagi mengesan penyakit pada peringkat awal.

Katanya, teknologi berkenaan mampu membantu mengurangkan risiko diagnosis terlepas pandang terutama di hospital yang berdepan kekurangan pakar dalam bidang tertentu.

“AI boleh membantu mengesan petunjuk awal yang mungkin tidak disedari ketika pemeriksaan pertama. Ia memberi peluang kepada doktor untuk mendapatkan pandangan kedua dan seterusnya meningkatkan ketepatan diagnosis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan robotik dalam bidang pembedahan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila prosedur dapat dilakukan dengan lebih tepat selain mengurangkan saiz luka pembedahan dan mempercepatkan tempoh pemulihan pesakit.

Malah, katanya, teknologi robotik yang sebelum ini bersaiz besar dan sukar digunakan kini semakin berkembang dan berpotensi digunakan dengan lebih meluas pada masa hadapan, termasuk bagi tujuan pembedahan jarak jauh.

“Robotik, AI dan genomik sudah berada di depan kita. Sama ada kita suka atau tidak, teknologi ini akan terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan moden,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, AMM akan terus bekerjasama dengan Malaysia Healthcare Scientific Kingdom (MHSK) bagi memastikan teknologi baharu yang dibawa masuk ke negara ini disertai program latihan dan pendidikan profesional yang mencukupi.

Menurutnya, kerjasama tersebut juga penting bagi memastikan setiap teknologi yang diperkenalkan memenuhi keperluan industri kesihatan tempatan serta memberi manfaat kepada pesakit dan petugas perubatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN