Jangan jadikan institusi diraja sebagai alat kempen politik - Anwar - Utusan Malaysia

Jangan jadikan institusi diraja sebagai alat kempen politik – Anwar

RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar tiada mana-mana pihak menggunakan institusi diraja sebagai alat politik untuk menentang pihak lawan mereka.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya mempunyai hubungan baik dengan institusi diraja negara ini, termasuk dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Tadi saya menghadap Tunku Mahkota Ismail, kerana hubungan kita dengan raja-raja Melayu harus kekal baik. Baginda panggil saya sahabat, saya terima 10 kali ganda baginda sebagai sahabat.

“Ini sendiri sudah menjawab kempen-kempen politik kotor yang dimainkan segelintir pihak. Ini tidak, hendak lawan politik tak berani tetapi gunakan nama raja.

“Yang bertanding kita, parti-parti politik, jangan kaitkan dengan raja-raja. Kalau ditegur kita terima dengan baik, kita runding baik-baik, ada yang setuju ada tidak setuju tetapi nasihat diberikan kita terima,” katanya berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, di sini malam ini.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, pihaknya telah menerangkan kepada Tunku Mahkota Ismail berhubung inisiatif diambil kerajaan Persekutuan untuk membantu pembangunan di Johor, termasuk melibatkan peruntukan yang diberi.

“Saya terangkan kepada baginda peranan PH, bahawa kerjasama antara orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli adalah penting. Saya hargai titah pandangan baginda dan kita terima dengan baik.

“Tetapi jika soal projek sangkut sebelum 2018 dan selepas itu, jangan tanya Anwar Ibrahim, jangan tanya PH, sebaliknya tanyalah kerajaan dan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN