Tarik diri PRN, Gerakan gantung Jawatankuasa Perhubungan Johor 

Tarik diri PRN, Gerakan gantung Jawatankuasa Perhubungan Johor 

Tarik diri PRN, Gerakan gantung Jawatankuasa Perhubungan Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan menggantung Jawatankuasa Perhubungan Johor berkuatkuasa serta merta susulan keputusannya menarik diri daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen berkata, tindakan itu diambil susulan keputusan secara unilateral Jawatankuasa Perhubungan Johor tanpa sebarang rundingan atau kelulusan daripada kepimpinan pusat.

Katanya, tindakan penggantungan secara sementara dikenakan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Keputusan penggantungan itu dibuat selepas kami mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Presiden, Datuk Dr. Dominic Lau, semalam,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Gerakan menarik diri daripada menyertai PRN Johor kerana didakwa tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi diperuntukkan kepada mereka yang disifatkan sebagai ‘sukar direbut’.

Namun Naib Presidennya, Koo Shiaw Lee, dilaporkan menafikan dakwaan terbabit, sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan kepada pertimbangan pragmatik antaranya kesediaan keseluruhan semasa organisasi parti, keupayaan mobilisasi akar umbi serta peruntukan sumber.

Pada masa sama, Chia Zhen berkata, Jawatankuasa Pusat sebulat suara berpandangan bahawa tindakan penarikan diri itu adalah satu salah laku serius kerana melanggar disiplin parti, prinsip kepimpinan kolektif serta tatacara yang diperuntukkan di bawah perlembagaan parti.

Beliau berkata, bagi memastikan kelangsungan pentadbiran serta persiapan parti menghadapi PRN Johor tidak terjejas, Jawatankuasa Pusat turut melantik Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, sebagai Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Johor berkuat kuasa serta-merta.

“Gerakan meminta seluruh ahli parti supaya kekal tenang, menghormati keputusan organisasi serta terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha membantu dan berkempen bagi calon PN dalam PRN Johor.

“Parti akan terus mempertahankan prinsip disiplin, perpaduan dan keutuhan organisasi demi memastikan perjuangan parti serta kepentingan gabungan PN terus diperkasakan,” katanya.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN