PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akur dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menangguhkan keputusan rayuan keputusan akhir pendakwaan terhadap pembebasan dirinya.
Syed Saddiq berkata, meskipun keputusan yang dinanti-nantikan itu terpaksa ditangguhkan ke 13 Julai ini, beliau tetap menghormati institusi kehakiman yang disifatkannya sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan.
“Saya menghormati keputusan Yang Arif Hakim dan institusi kehakiman negara. Sudah enam tahun saya berjuang untuk membersihkan nama, integriti dan maruah saya.
“Jika perlu menunggu dua minggu lagi, saya akur dan patuh,” katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di sini hari ini.
Katanya, penangguhan itu sememangnya di luar jangkaan, namun isu kesihatan yang melibatkan anggota panel hakim perlu dihormati.
“Saya faham perkara ini memang tidak dijangkakan. Sebab itu agak sukar untuk saya memberikan sebarang komen atau ulasan.
“Ini bukan sesuatu yang kita rancang namun apabila melibatkan isu kesihatan, saya menghormati keputusan mahkamah,” katanya.
Sementara itu, peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, keputusan rayuan berkenaan telah pun disiapkan panel Mahkamah Persekutuan, namun terpaksa ditangguhkan selepas seorang daripada hakim yang bersidang dilaporkan tidak sihat.
“Situasi ini tidak pernah berlaku. Sepanjang pengalaman kami mengendalikan kes, ini adalah kali pertama perkara seperti ini berlaku,” katanya.
Pagi ini, prosiding keputusan akhir kes Syed Saddiq ditangguhkan ke 13 Julai ini.
Ia berikutan salah seorang hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sedang cuti sakit.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan termasuk bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). – UTUSAN










